Thursday, January 26, 2012

HERMAN : UTAMAKAN NEGARA

KUALA LUMPUR : Penulis kagum mendengar kenyataan Tan Sri Dr Herman Luping (gambar), seorang tokoh pemimpin Kadazan yang menyatakan bahawa negara ini akan hilang arah jika rakyat terus terkeliru dan tidak waras dalam membuat pilihan pada PRU13 akan datang.

Ini pandangan ikhlas seorang pemimpin yang berpengalaman dan melalui perjalanan hidup negara sejak zaman Tunku Abdul Rahman sehingga sekarang. Baginya, kepentingan negara adalah yang utama daripada kepentingan individu atau parti tertentu. Perkara ini disuarakan kepada penulis tengahari tadi.

Sambil menunjukkan jari telunjuk ke kepala, beliau menyatakan bahawa jika semua rakyat negara ini menggunakan 'fikiran' yang waras mereka pasti menghargai apa yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini demi untuk rakyat dan kemakmuran negara. Kemakmuran dan kestabilan ini bukan mudah untuk dibina dan dijaga apatah lagi jika kita menyaksikan banyak negara yang tidak stabil dan berlakunya peperangan. Ada negara yang hanya satu bangsa sekalipun berpecah dan wujudnya perang saudara.

Walaupun negara ini mempunyai pelbagai kaum dan agama terutama di Sabah yang mempunyai pelbagai etnik namun kerajaan berjaya mentadbir Malaysia kerana kedudukan politik yang stabil. Perpaduan dan tiada persengketaan. Inilah resipi utama sejak dulu lagi menyaksikan Malaysia berjaya dibangunkan dan kini menuju negara maju. Fikiran waras tanpa sikap prejudis dalam menghargai perjuangan dan usaha gigih kerajaan selama ini akan membantu memastikan Malaysia terus maju dan makmur.

Baginya, Kerajaan Persekutuan telah banyak membantu rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan pelbagai infrastruktur di bandar dan luar bandar bagi memastikan rakyat mendapat segala yang diperlukan. Ini membabitkan beribu juta ringgit terutama menyediakan kemudahan asas di kawasan yang luas seperti di Sabah dan Sarawak sejak dari dulu lagi.

Apatah sekarang, katanya, yang menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, begitu komited untuk membela rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang menerusi Gagasan 1Malaysia dan keikhlasannya seharusnya disokong. Buka mata dan lihatlah transformasi yang dilakukan oleh kerajaan sekarang yang ikhlas dalam membantu rakyat di samping menunaikan segala janji.

Ini perlu dirasai dan dihayati rakyat.

Tuesday, January 24, 2012

SUKARDI MENINGGALKAN KITA

Sukardi Abdul Ghani, pengarang berita TV3 meninggal dunia jam 3 pagi tadi di HKL pada usia 56 tahun.

Beliau seorang insan budiman dan wartawan/pengarang yang berpengalaman.

Semoga Allah SWT menempatkan rohnya di kalangan orang-orang soleh. Al-fatihah.

Saturday, January 21, 2012

IZWAN PILUS MENINGGALKAN KITA

Izwan Pilus, penyanyi dan pengacara berbakat meninggal dunia petang semalam. Jenazahnya dikebumikan di Melaka pagi ini.

Allahyarham seorang insan yang budiman dan sentiasa menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

KPKK dan RTM sentiasa memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan bakat sebagai penyanyi atau pengacara.

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang soleh. Al-fatihah.

Thursday, January 19, 2012

RAYUAN BLOGAWAN DITOLAK


KUALA LUMPUR : Mahkamah Rayuan Rabu mengesahkan satu keputusan yang memerintahkan seorang blogger penyokong Pakatan Rakyat (PR) membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar atas) kerana memfitnah menteri itu dalam satu artikel.

Hakim Datuk Jefrey Tan Kok Wha, yang mengetuai tiga panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan blogger, Amizudin Ahmat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Tan yang mendengar rayuan itu bersama Hakim-Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa blogger itu bertanggungjawab kerana memfitnah berhubung artikel terhadap menteri itu.

Sambil membacakan sebab-sebab yang panjang lebar, Hakim Tan berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung jumlah ganti rugi RM300,000 yang diberikan kepada menteri.

Beliau berkata ia mungkin kelihatan jumlah itu adalah tinggi dan itu merupakan tanggapan pertama mahkamah.

"Tapi sebaliknya bahawa responden (Rais) merupakan seorang yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat, manakala dakwaan itu adalah begitu rendah dan keji, oleh itu, kami dapati kuantum RM300,000 bukanlah satu jumlah yang tinggi," katanya.

Bagaimanapun, korum dalam menolak rayuan itu, mengurangkan kos perundangan yang perlu dibayar oleh blogger itu kepada menteri daripada RM100,000 kepada RM50,000 kerana mereka dapati ia adalah tinggi.

Beliau juga berkata mahkamah secara total bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pembelaan mengenai justifikasi penerbitan oleh blogger itu tidak direka dalam kes ini.

Hakim Tan berkata penerbitan artikel itu bukan pembelaan dan kebenaran mengenai dakwaan rogol.

"Satu-satunya kebenaran adalah mengenai siasatan terhadap rogol tetapi bukan kebenaran mengenai rogol," katanya.

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan peguam Dr Rais, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan R Sivarasa yang mewakili blogger itu.

Pada 19 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan seorang blogger membayar ganti rugi RM300,000 kepada Dr Rais kerana memfitnah menteri itu dalam satu artikel.

Hakim Zabariah berkata bahawa setelah mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

Pada Januari tahun lepas, Dr Rais, 69, menyaman Amizudin, yang juga anggota exco pemuda Parti Keadilan Rakyat, kerana memfitnah beliau menerusi satu artikel yang tersiar dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Dis tahun lepas.

Dalam samannya itu, Dr Rais berkata artikel berbahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau serta bermaksud beliau melakukan kesalahan besar merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Seorang wanita yang pernah bekerja dengan menteri itu kemudiannya dilaporkan telah memberitahu sebuah portal berita Indonesia bahawa beliau tidak pernah dirogol atau dilayan dengan buruk oleh majikannya itu.-19/1/2012 (AgendaDaily).

Wednesday, January 18, 2012

POK POK BUJANG LAPOK

Oleh Noor Hasilah Ismail (AgendaDaily)

CYBERJAYA : Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim (gambar atas) berkata tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel sebahagian undang-undang negara Malaysia terutama yang babitkan hak golongan gay sebagai lapuk kerana dia mungkin menjadikan isu itu sebagai asas peribadinya.

“Saya kira beliau ingin jadikannya sebagai asas peribadinya. Seksyen 377b di bawah Kanun Keseksaan telah ujud sejak dunia terbentang. Islam mencegahnya. Agama Kristian pun begitu, Judaism pun begitu. Jadi tidak ada sebab kenapa Anwar harus memberi satu penilaian baru terhadap diri beliau ataupun undang-undang negara,” katanya.

Dr Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran Dana Pembangunan Industri Kreatif (DPIK) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada 19 buah syarikat animasi dan pembekal kandungan tempatan di Cyberjaya, Isnin.

“Kanun Keseksaan itu sudah cukup untuk mencerminkan apa yang dikatakan sebagai undang-undang negara. Kalau situpun tidak cukup, kita bersandar kepada Islam yang juga menyatakan bahawa liwat itu adalah dosa yang tak dapat diampun dan ditegah oleh agama sendiri.”

Mengulas artikel yang disiarkan dalam majalah antarabangsa, The Economist, Sabtu lalu yang melabelkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai, Dr Rais berkata, berikutan komen itu kini penilaian antarabangsa terhadap Anwar yang sebelum ini positif pasti akan beralih kepada negatif.

“Komen itu adalah komen yang objektif kerana The Economist telah mengikuti gerak kerja dan gerak laku Anwar sekian lama. Dengan pandangan mereka itu, sekaligus, nilai antarabangsa berhubung dgn Anwar Ibrahim tentunya beralih daripada yang kononnya positif sebelum ini kepada yang negatif.

“Jarang sekali sesebuah majalah yang bereputasi seperti The Economist sanggup menyatakan secara objektif pendapat seperti itu,” katanya.

Dr Rais berkata Anwar tidak akan dapat mengetepikan pandangan itu dengan begitu mudah kerana ianya sudah pasti akan menjejaskan masa depan politiknya.

Terdahulu, Dr Rais menyampaikan geran DPIK yang disediakan oleh SKKM berjumlah RM9.7 juta sebagai pendahuluan kepada beberapa produksi yang akan dilaksanakan oleh 19 syarikat yang terpilih. Jumlah dana yang diperuntukkan ialah RM15 juta dan ianya akan diberikan secara berperingkat.

Dr Rais berharap suntikan dana itu dapat mendorong syarikat-syarikat produksi tempatan mempertingkatkan kemampuan untuk menghasilkan drama, animasi dan dokumentari bermutu yang setanding dengan Jepun, Korea dan Taiwan. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi. - 16/01/12.

(Renungan Rimau : Lapuk...pok pok bujang lapok.)

Tuesday, January 17, 2012

SUKA SAMA SUKA

KERAJAAN KEBAJIKAN BN (2)


12 JAN. 2012: Pelbagai kaum (dari kiri) Megala Sengalaney, Nurul Ain Ismail, Julia Jasmi, Lee Chia Ling, Fazila Shafifi Syukri dan M. Nisha meniliti pamplet Skim Sara 1Malaysia semasa majlis pelancarannya oleh Perdana Menteri, di PWTC Kuala Lumpur. - UtUSAN/MOHD NAIM AZIZ.

(Renungan Rimau : Penganalisis politik tempatan Zaharin Mohd Yassin dalam FB menyatakan bahawa BN adalah pilihan rakyat sekarang menggantikan parti seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan atau PPP. Ini kerana mereka menyukai pemimpin tertinggi BN iaitu DS Najib Tun Razak yang ikhlas membantu rakyat. Oleh itu, pada PRU13 ini undilah BN walaupun anda tidak suka dengan parti politik tertentu kerana BN sejak dari dulu lagi menunaikan janjinya seperti pemberian RM100 kepada pelajar, BR1M, kedai 1Malaysia dan terbaru ialah Skim Sara1Malaysia. Begitu gembiranya mereka kepada BN yang menunaikan janji.)

Friday, January 13, 2012

BERANI KERANA ALLAH (2)

Oleh Helme Hanafi (AgendaDaily)

KUALA LUMPUR : Raut wajah, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar atas) nampak tenang saja di ruang mesyuarat pejabatnya Tingkat 9 Bangunan JAKIM, Putrajaya pada Rabu.

Beliau ditemani Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha (gambar atas), Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, CEO Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr Muhammad Yamin Ismail bersama pegawai-pegawai lain, siap melayani kami – wartawan, blogger, facebooker dalam majlis pertemuan petang itu.

Ada banyak isu yang mahu dibualkan dengan bekas Mejar Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini, tetapi yang paling panas dan ramai hendak tahu adalah soal penggunaan wang zakat MAIWP membayar kos guaman satu perbicaraan membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isu tersebut jika diteliti secara fakta, tidak besar mana, tetapi ia menjadi kontroversi sebab pembangkang, terutamanya PKR membangkitkannya secara konsisten dan berkala hingga membentuk persepsi seolah-olah Menteri Malaysia guna duit zakat bayar kos guaman.

Kisah sebenarnya mudah, Anwar saman kerajaan (menterinya Datuk Seri Jamil Khir), Pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua jabatan pendakwaan JAWI, Shamsuddin Hussain sebab tidak mahu dakwa pengadu kes liwat Mohd Saiful Azlan Bukhari dengan dakwaan qazaf (tuduh zina tanpa empat saksi).

Jadi sebagaimana biasanya, kerajaan dan agensi-agensinya perlu mempertahankan diri dan melantik peguam.

Ini bukan soal peribadi Anwar lawan Jamil Khir, tapi soal Anwar lawan Jabatan Agama yang kebetulan menteri yang dipertanggungjawabkan adalah Jamil Khir.

Dan Anwar kalah. Pusingan pertama.

Bila lantik peguam perlu kos, sudah sebab ini saman kerajaan, sudah tentu kerajaan yang bayar, bukan individu. Maka MAIWP sebagai agensi bertanggungjawab perlu bayar kos guaman sebanyak RM63,650.

Bukan untuk Jamil Khir seorang, tetapi juga untuk Datuk Che Mat Che Ali dan Shamsuddin Hussain yang disaman Anwar. RM63,650 kongsi tiga. Itu sahaja kisahnya.

Masalah timbul bila pembangkang bawa isu penggunaan wang zakat bayar kos guaman tersebut, dan pembangkang secara konsisten bawa isu tersebut sebab ianya berkaitan dengan Anwar.

Satu demi satu dirungkai, dokumen demi dokumen dipamerkan termasuklah baucer pembayaran (ada tanda-tanda pembabitan orang dalam).

Ketika berhadapan dengan 12 orang semalam, Jamil Khir sedia digrill, soalan terbuka untuk kami tanya, dia bersedia untuk tell the truth.

“Saya jika yang dihina itu diri saya, saya boleh maafkan, tapi yang dihina itu Islam, jabatan agama Islam, saya tidak boleh berdiam diri,” katanya memperjelaskan maksud pertemuan.

Menurut beliau, sebagai Pengerusi MAIWP, jawatan yang disandangkan bukan jawatan eksekutif.

“Urusan harian, soal pembayaran dan pentadbiran bukan saya kendalikan, tapi sebagai bos, saya kena bertanggungjawab, mereka serang saya tak mengapa, tapi mereka serang MAIWP, saya kena tampil jawab,” katanya lagi.

Menurut beliau, soal pembayaran kos guaman menggunakan duit zakat itu tidak timbul sebab beliau tahu wujud geran tahunan kerajaan kepada MAIWP setiap tahun bagi tujuan tersebut.

“Saya beranggapan begitu, walaupun baru-baru ini Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) dalam mesyuarat khas pada 3 September 2009 bagi membincangkan anggaran Belanjawan MAIWP 2010, telah meluluskan sebanyak RM205,000,00 untuk perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah,” kata beliau.

Jamil Khir membacakan satu kenyataan media oleh Mufti Wilayah kepada kami dan menerangkannya satu persatu.

Antara yang ditulis oleh Mufti Wilayah tersebut adalah JPHSWP menerima pakai pendapat ulama yang mentafsirkan asnaf fisabillah dengan tafsiran yang lebih luas dari perbelanjaan untuk perang jihad semata-mata. Antara mereka adalah Imam Fakhrul Razi dalam kitab tafsirnya dan Sheikh Rasyid Rida dalam tafsir Al-Manar.

Menurut Rahyid Rida, "pendapat yang benar mengenai maksud fisabillah di sini ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan,".

Sudahpun ada kenyataan Mufti tersebut, bagi Jamil Khir, beliau beranggapan bahawa duit yang digunakan untuk bayar kos guaman tersebut adalah dari geran kerajaan sebanyak RM700,000,00 setahun yang memang digunakan untuk kes-kes perundangan yang dihadapi oleh jabatan agama.

“Saya tetap kata yang duit peguam itu dari dana kerajaan, tapi Mufti sendiri kata, jika pakai duit zakat pun boleh berdasarkan mesyuarat tahun 2009, lulus sebanyak dua ratus ribu lebih untuk tujuan perundangan, saya terima kasihlah…” katanya tegas mempertahankan integritinya.

Untuk rekod Pengarah Jawi Datuk Che Mat yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam satu laporan Bernama pada Khamis berkata dana daripada kerajaan memang dimasukkan di dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat, cuma dimasukkan sementara tetapi akaun banknya adalah sama.

"Kalau kita nak ambil duit itu (dana kerajaan) bagi digunakan untuk pembayaran kos guaman pun boleh, tak ambil pun boleh dan jika nak ambil duit zakat pun tidak mengapa, asalkan untuk memartabat kredibiliti dan kehormatan MAIWP dalam menguruskan hal ehwal dan warga Islam di Wilayah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata geran kerajaan sebanyak RM700,000 yang diterima MAIWP tahun lepas bagi tujuan pembayaran untuk kes tertentu seperti mempertahankan kredibiliti pengurusan hal ehwal undang-undang yang bersabit dengan MAIWP apabila majlis itu disaman dan sebagainya memang dimasukkan ke dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat dan pengeluaran untuk pembayaran kos guaman untuk situasi seperti didakwa adalah dibolehkan.

"Tetapi hari ini saya nak jelaskan kita bayar duit guaman itu guna dana kerajaan, kita tak ambil duit zakat walaupun kita boleh juga ambil duit zakat seperti yang dijelaskan Mufti Wilayah Persekutuan," kata Che Mat.

Sebagai bekas Mejar Jeneral dalam tentera, Jamil Khir sudah biasa dengan tekanan dan ujian, beliau nampak tegas dan bersemangat menerangkan letak duduk perkara tersebut.

Ada beberapa perkara yang off record kerana sebab-sebab tertentu.

“Ini semua sebab saya lawan dengan Anwar Ibrahim saja, dia saman saya dan dua yang lain dalam kes qazaf, bila bawa ke mahkamah, kami menang, dan dia merayu, rayuan dia akan dengar pada 30 Januari ini,” jelasnya.

Bagi yang biasa dengan gaya pembangkang mencipta isu salah satu caranya adalah dengan 'kompang' bagi kuat supaya persepsi terbentuk. Macam kes liwat Anwar di mahkamah baru-baru inilah, sebelum keputusan riuh kata konspirasi dan segala macam lagi. Lepas keputusan terus senyap sunyi.

Sebagai orang baru dalam politik, Jamil Khir yang dilantik sebagai Senator dan sekaligus Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik PM merombak Kabinet pada April 2009.

Orangnya mudah mesra dan rendah diri. Beliau disenangi banyak pihak dan barangkali menimbulkan cemburu kepada musuh-musuh politiknya (pembangkang). Kebetulan ada isu yang boleh ‘dilambung’ maka puak-puak ini berseronok jadikan satu tarikan untuk menjual ‘minyak angin’ mereka.

Sebelum ini Datuk Seri Jamil Khir diserang dalam soal rumah yang konon macam istana. Beliau ada terangkan juga dalam pertemuan lebih sejam tersebut. Ceritanya memang bersahaja habis.

(Renungan Rimau : Berani kerana Allah, nak untung politik sebarkan fitnah. Apadaa.)

Thursday, January 12, 2012

SHAHRIZAT AMBIL CUTI


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) memohon cuti rehat daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu mulai esok, daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan dua perenggan sebentar tadi, DS Shahrizat juga berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan sama ada beliau terbabit atau tidak dalam keputusan kerajaan berhubung National Feedlot Corporation yang diterajui suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.- Berita Harian Online.

(Renungan Rimau : Eloklah ambil cuti dan selepas itu bolehlah buat keputusan yang terbaik demi untuk parti dan kerajaan. Orang lain jangan kecoh. Dalam pada itu, mengarut juga dakwaan pembangkang, DS ada baju dalam berharga RM26,000. Apa jenis tu? Mahalnya.)

Tuesday, January 10, 2012

BERANI KERANA ALLAH



Ramai yang takut dengan orang ini ke? Angkatlah tangan.

Pastinya orang ini takut Allah SWT daripada orang lain.

BEBAS DAN TIADA BULU


KUALA LUMPUR 9 Jan. - Keputusan mahkamah berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan badan kehakiman negara bebas dan mengeluarkan pendapat serta keputusan tanpa memilih bulu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim (gambar).

"Penghakiman sudah diputuskan, dengan itu sah badan kehakiman negara ini mempunyai reputasi dan pendirian yang boleh disetarafkan dengan keputusan kehakiman negara maju berasaskan kepada "rule of law" atau keunggulan undang-undang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Dr Rais berkata, Malaysia memiliki badan kehakiman yang bebas dan keputusan tersebut membuktikan kerajaan tidak mempunyai pengaruh ke atas keputusan hakim.

Gelombang terkini dalam perubahan demokratik berani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan membantu memperluaskan ketelusan dalam semua bidang kehidupan di Malaysia, katanya.

Dr Rais memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan itu juga, rakyat harus terus berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang.

"Tiada siapapun berada di tahap lebih tinggi daripada undang-undang negara.

"Dan saya yakin dengan keputusan ini, pengikut dan penyokong Anwar akan merasionalkan kedaulatan undang-undang negara yang tersisip dalam Rukun Negara," katanya.

Beliau berharap tidak akan ada lagi spekulasi atau gesaan yang boleh memecah-belahkan institusi atau elemen pentadbiran negara serta perpaduan di negara ini.

"Keputusan dan pendapat mahkamah yang mencerminkan keadilan wajar kita hormati.

"Saya sendiri amat bangga dengan badan kehakiman Malaysia yang menjalankan tugas tanpa memilih bulu," katanya.

Mengulas lanjut keputusan kes itu, Dr Rais berkata, suara keadilan telah diluahkan dan menggambarkan badan kehakiman Malaysia berada pada tahap tertinggi dalam memutuskan apa yang adil dan saksama.

"Lebih daripada itu, kita mesti sedar akan kepentingan bagi kita menghormati keputusan undang-undang, pada masa sama memberi peluang untuk Gagasan 1Malaysia berkembang bagi membangunkan bangsa Malaysia yang kita perlukan," katanya.

Menjangkakan pelbagai pandangan, polemik serta kesimpulan yang bakal timbul, beliau berkata, semua itu tidak harus dilayan.

"Mari kita maju ke depan dan tinggalkan semua ini sambil kita membangunkan 1Malaysia yang kita perlukan," katanya. - BERNAMA

(Renungan Rimau : Auuummm. Nak cakap apa lagi?)

Monday, January 9, 2012

AKU DAN ANUKU


(Tanda sokongan kepada perjuangan Saiful, individu yang beliau dakwa merosakkan kehidupannya setelah taat setia sepenuhnya diberikan. Apakah Saiful setuju dengan Puisi bertajuk "Aku dan Anuku"?. Saiful, banyaklah bersabar dan berzikir.)

AKU DAN ANUKU

Aku akan resah,
gelisah....jika anuku tidak diasah, basah.
Aku akan bengis,
menangis...jika kemahuanku ditapis, berlapis-lapis.
Aku akan mengamuk,
berkecamuk...jika anuku kemaruk, tidak dapat menjenguk...meneguk.
Apakah salahku,
jika anuku yang mahu,
bukan aku...anuku,
aku buntu....membisu dan kaku.
Aku dan anuku.

Putra Heights, 555 am : 901,12

Thursday, January 5, 2012

KERAJAAN KEBAJIKAN BN


4 JAN. 2012: GEMBIRA... (dari kiri) Mat Hasan Husin, Mat Jali Daud dan Abdul Rahmat Abdullah menunjukkan wang bantuan RM100 yang diterima di Kuala Terengganu. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR.

(Renungan Rimau : Bagi sesetengah pihak terutama yang berduit, wang sebanyak RM100 adalah kecil tetapi gambar di atas memaparkan bagaimana gembiranya rakyat menerima wang bantuan kerajaan yang sudah pasti akan meringankan beban mereka, sedikit sebanyak. Pemberian itu memaparkan kerajaan di bawah pimpinan DS Najib Razak benar-benar mendahulukan rakyat terutama golongan yang memerlukan.)

Tuesday, January 3, 2012

GUGUR CALON KALAH BANYAK

IPOH 3 Jan. - Barisan Nasional (BN) Perak tidak menolak kemungkinan memilih semula calon-calon yang tewas pada pilihan raya umum lepas untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, BN negeri telah mengumpul pelbagai maklumat dan maklum balas daripada orang ramai mengenai calon-calon yang tewas dalam pilihan raya umum sebelum ini.

"Mungkin calon-calon ini kalah tipis atau menang tipis dalam pilihan raya umum sebelum ini tetapi kita harus tahu sebab kekalahan itu.

"Bagi saya ada di antara mereka sebenarnya boleh menang tetapi disebabkan tsunami politik yang berlaku menyebabkan mereka tewas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Laluan Alternatif Bercham ke Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.

Katanya, hasil maklumat yang dikumpul, terdapat permintaan daripada orang ramai supaya calon yang tewas dicalonkan semula untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

(Renungan Rimau : Jika calon itu kalah tipis tidak mengapa dan boleh dipertimbangkan. Tetapi dengan syarat lihat mengapa dia kalah tipis, ada sabotaj atau salah strategi. Jika calon itu memang terang-terang ditolak dan orang sudah menyampah, janganlah recycle calon itu bagi memastikan BN menang. Tidak percaya, cubalah).

Monday, January 2, 2012

DATUK SALLEH MENINGGALKAN KITA

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Datuk Salleh Majid, bekas Presiden Bursa Malaysia dan pakar ekonomi tersohor meninggal dunia pada jam 10.20 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit kanser usus dan buah pinggang.

Jenazah Allahyarham akan bawa ke rumah ibu beliau di 1055 Jalan Hj. Mokhtar, Kg. Pasir, Ulu Kelang dan disembahyangkan di Masjid Kg.Pasir, Ulu Kelang. – UTUSAN 02/01/2012 1:01pm.

(Renungan Rimau : Perginya seorang sahabat, pakar ekonomi, pejuang Bahasa Melayu dan peminat setia Allahyarham TS P Ramlee. Semoga Rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh. Al-fatihah).