Thursday, July 31, 2008

ANWAR BERTANDING DI PERMATANG PAUH

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), petang ini mengumumkan akan bertanding di kubu kuatnya, Permatang Pauh, berikutan perletakan jawatan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Ahli Parlimen hari ini .

Pengumuman bekas Timbalan Perdana Menteri itu menolak pelbagai ramalan oleh tok nujum politik di negara sebelum ini yang mengatakan DSAI akan bertanding di Bandar Tun Abdul Razak, Cheras atau Kulim Bandar Bahru, Kedah.

Persoalannya sekarang ialah adakah UMNO akan membenarkan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd Noor, yang menyertai UMNO tahun ini, bertanding menentang bekas bossnya.

Atau...UMNO meletakkan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Firdaus Ismail, semula di Permatang Pauh yang sudah menyaksikan bekas Imam Masjid Negara itu kalah dua kali di tangan DS Wan Azizah pada PRU 2004 dan 2008.

BADUT BERTANDING DI PUTRAJAYA?

BADUT, gelaran kepada "individu" yang disebarkan dalam sistem pesanan ringkas (SMS) oleh pihak tertentu yang tidak mahu pemimpin berkenaan menentang Ketua Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, malam tadi dikatakan mendapat satu pencalonan.

Ejen kenit memberitahu saya bahawa Cawangan Pakma Precint 9 telah mencalonkan "BADUT" itu menentang Setiausaha Agung UMNO bagi jawatan Ketua Bahagian Putrajaya. Pencalonan menerusi undi sulit.

Ejen kenit menerangkan "BADUT" berkenaan, yang dipecat menjadi CEO Biro Latihan UMNO baru-baru ini kerana menyatakan hasrat untuk bertanding melawan Ketua Bahagian, difitnah menabur wang kepada ahli Bahagian Putrajaya.

Tidak baik memfitnah orang. Kesian BADUT tu.

BADUT itu, yang pernah menjadi Ketua Penerangan Bahagian sebelum digugurkan oleh Ketua Bahagian beberapa tahun lalu dikatakan memerlukan empat lagi pencalonan untuk melayakkan beliau bertanding jawatan Ketua Bahagian.

Nampaknya, semakin ramai Ketua Bahagian UMNO berprofil tinggi yang mempunyai jawatan Menteri atau jawatan politik ditentang atau diketepikan di peringkat cawangan dan bahagian.

Apa petanda ni?

SKANDAL SEKS MUNCUL SEMULA?

Wee Ka Siong adalah antara pemimpin muda MCA yang semakin meningkat dalam politik tanahair. Beliau dikatakan berminat bertanding Ketua Pemuda atau Naib Presiden.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pemuda MCA, semalam mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan kenyataan PAS berhubung perlaksanaan hudud dan qisas jika UMNO mahu bekerjasama dengan parti itu.

Yang pelik, beliaulah pemimpin yang mula-mula membuat komen berbanding pemimpin MCA lain termasuk Presiden dan Timbalan Presiden. Mungkin Wee membuat keputusan sendiri atau disuruh membuat kenyataan itu oleh pemimpin kanan MCA.

Hari ini, news portal diterajui Steven Gan, Malaysiakini, melaporkan akhbar NST mempunyai berita hangat yang mengatakan Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dikaitkan dengan "skandal seks" dengan gadis dari China.

Wee sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Apakah taktik yang sama muncul semula membabitkan pemimpin MCA?

Ingat tak video membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek?

Politik MCA semakin panas?. Semakin rimas?

TIDAK PAYAH PAKAI BAJU KALIS PELURU

Hari ini, akhbar tempatan dan akhbar online termasuk MSTAR ONLINE melaporkan skandal pembelian peralatan PDRM.

Amat mengejutkan.

Ada barangan yang dibekalkan kepada polis dikatakan di bawah piawaian yang ditetapkan termasuk baju kalis peluru, kasut dan topi keras (anti-riot helmet).

Bayangkan baju yang perlu kalis peluru tidak mengikut piawaian. Dalam ertikata lain tidak selamat dan mungkin boleh ditembus peluru.

Polis yang memakainya perlu membuat wasiat. Yang akan sedih jika terjadi sesuatu kejadian tidak diingini ialah keluarga mereka. Jangan biarkan anak kehilangan bapa.

Jangan biarkan nasi menjadi bubur.

BERILAH LALUAN KEPADA PEMIMPIN MUDA

Pemimpin pelapis UMNO dari Melaka, Datuk Idris Haron, diberi laluan oleh Ketua Bahagiannya untuk menggantikan beliau.

Itulah semangat terpuji yang ditunjukkan oleh ketuanya, Datuk Yaakub Md Amin. Saya pernah bertemu Datuk Yaakub dan mengetahui hati budinya.

Bagaimanapun, laluan anak muda ini tidak mudah disangkakan kerana ada pemimpin lama dan bekas EXCO dikatakan ingin mencabarnya. Tidak payahlah mencabarnya kerana jurutera muda ini seorang yang budiman, berkelayakan dan berwibawa.

Bagi saya, eloklah bagi laluan kepada pemimpin muda ini untuk meremajakan UMNO. Yang lama itu, bimbinglah orang muda dari belakang.

Ikuti berita ini.

MELAKA 30 Julai - Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu, Datuk Idris Haron yang diberi laluan oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Yaakub Md. Amin untuk menggantikan beliau bakal ditentang oleh dua lagi calon lain.

Idris yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi akan dicabar oleh bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Yassin Sarip dan Mat Jantan yang juga Ahli Jawatankuasa bahagian tersebut.

Keputusan Yaakub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri itu untuk tidak bertanding telah membuka laluan kepada Yassin dan Mat untuk merebut jawatan tersebut.

Sehingga kini sebanyak 13 daripada 54 cawangan UMNO bahagian Tangga Batu telah mengadakan mesyuarat.

Yaakub, yang dipetik dari laporan sebuah akhbar berkata, beliau memberi laluan kepada Idris demi perpaduan Melayu dan perjuangan parti serta untuk menjaga kepentingan rakyat.

''Idris merupakan orang muda dan mempunyai banyak idea untuk terus memperkukuhkan parti dan perpaduan rakyat," katanya yang telah memegang jawatan itu selama dua penggal.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita dan Pemuda bahagian juga dikatakan berlaku perebutan di peringkat bahagian.

Penyandang Ketua Wanita, Nor Adibah Abdullah dikatakan dicabar oleh tokoh sejarah, Datuk Dr. Ramlah Abas manakala bagi jawatan Pemuda yang dikosongkan oleh Idris menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Bagaimanapun, jawatan Ketua Puteri bahagian sehingga kini tiada pertandingan apabila penyandangnya Azlieza Azizan mendapat sokongan daripada kesemua cawangan yang telah bermesyuarat sehingga kini. - Utusan

Wednesday, July 30, 2008

HILANGKAN BURNOUT DAN RIMAS

(Posting Terbaru - 5.55 petang)

Mangsa yang mendakwa diliwat oleh DS Anwar, Saiful Bukhari Azlan tegaskan tidak ada sebab untuk beliau menganiaya atau memfitnah bekas majikannya itu.

News alert AgendaNews menyebut dalam kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya hari ini, Saiful berkata, beliau membuat laporan polis itu bagi membolehkan siasatan dibuat dan kini menunggu pihak polis untuk bawa individu terbabit ke mahkamah.

Beliau minta DS Anwar tidak berdolak dalik dalam siasatan kes itu. Sebelum ini, bapa Saiful juga pernah membuat kenyataan yang sama.

Blogawan, Rocky pun ada cerita DI SINI .

(Renungan Rimau : Semakin rimas dan penuh tanda tanya. Nak kena sambung cuti lagi ke?)

(Posting Asal - 1.59 petang)

Cuti seminggu untuk menghilangkan rasa burnout.

Sejak tiga minggu kebelakangan ini, semakin terasa rimas dan resah dengan apa yang berlaku di negara ini terutama keadaan politik yang entah apa-apa.

Seolah-olah badi yang menimpa pada 8 Mac lalu seperti tidak habis-habis bagi sesetengah orang. Mereka perlulah mandi air bunga. Jika tidak cukup carilah air daripada tujuh kolah. Mandilah puas-puas agar masalah selesai.

Sejak dua hari lalu, relaks dan bersantai dengan DRH.

Hari ini, di Menara Kuala Lumpur (MKL). Cuma menghabiskan minyak ke Jalan Sultan Ismail dan belok ke MKL. Bukan duit beribu-ribu untuk membeli tiket kapalterbang.

Ramai pengunjung di MKL terutama Pak Arab dan Mak Arab. Mereka membawa anak-anak. DRH kata mereka bercuti musim panas.

MKL semakin ceria sejak kawan, Datuk Zul mengambilalih. Kini beliau dibantu oleh Anak Mahmud yang cergas ke sana ke mari termasuk ingin membuat majalah untuk MKL. Saya cadangkan penerbitan itu kepada sahabat lama di Jalan Klang Lama.

Semoga MKL terus maju dan mengadakan pelbagai aktiviti. Antaranya KL Tower International Jump (gambar).

Tuesday, July 29, 2008

MANUSIA YANG MASIH MAHU BELAJAR

Minggu lalu, saya ditegur oleh Ustadz Mohd apabila mengeluarkan kata-kata, "saya ni bukan begitu baik sangat, tetapi saya ingin menasihatkan.....".

Bagi Ustadz Mohd, perkataan "saya ni bukan begitu baik sangat" itu tidak payah disebut kerana ia satu doa terhadap diri kita. Ingat, tidak perlu disebut perkara yang tidak baik kerana ia satu doa.

Saya berhujjah dengan mengatakan perkataan itu diluahkan untuk menyatakan kepada orang lain bahawa "saya ni bukan begitu baik sangat" untuk menunjukkan saya bukan seorang yang sempurna. Tetapi saya tetap mahu menasihati mereka.

Beliau masih menegaskan tidak perlu menyatakan demikian. Ustadz Mohd mahu saya terus saja memberitahu orang lain segala butir mengenai nasihat saya.

Saya akur kerana beliau adalah rakan dan guru.

Terfikir juga saya mengenai penceramah yang selalu berkata, "saya bukan seorang pakar tetapi saya ingin memberitahu anda semua...."

Itupun mungkin tidak sesuai terutama ketika berceramah yang boleh menyebabkan pendengar berasa sangsi dengan kebolehan kita.

Apa pun, sebagai manusia kita memang sentiasa tidak sempurna. Kita masih kekurangan dan perlu belajar.

DATUK MUFTI SHUIB MENINGGALKAN KITA...

Al-Fatihah.

Ketua UMNO Bahagian Ampang Jaya, Datuk Mufti Shuib , telah kembali ke rahmatullah jam 6 petang tadi.

Menurut AgendaNews, jenazah akan dikebumikan esok.

Jenazah kini di rumahnya di Kampung Melayu Ampang.

EZAM TIDAK GENTAR HADAPI ANWAR

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor, mahu bersemuka dengan "boss" lamanya, DSAI di mana saja penasihat PKR itu ingin bertanding. Di Kulim Bandar Bahru atau di Bandar Tun Razak, Cheras, beliau tidak gentar.

Ini pengakuan Ezam. Ini permintaan anak muda yang bercakap dan bergaya seperti DSAI (mungkin dulu terikut-ikut dengan cara boss). Itupun jika pemimpin UMNO bersetuju memilihnya. Jika tidak terpilih, takpe kerana tawaran sudah dibuat.

Bagi saya, tawaran Ezam ini perlu dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan UMNO kerana pemimpin muda ini tahu "luar dalam" DSAI yang mungkin akan "dilondehkan" jika pilihan raya kecil diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai orang kanan DSAI, Ezam tentunya tahu perangai, tabiat, sikap, kegemaran, kesukaan dan kegilaan DSAI. Sama ada pelik atau luar biasa, sudah tentu bekas Setiausaha Politik ini tahu apa yang dibuat oleh bossnya selama ini.

Ezam juga tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam PKR termasuk wang pemberian atau sumbangan daripada merata tempat untuk mengisi tabung parti. Beliau tentu tahu jumlah wang tersebut dan bagaimana ia dibelanjakan. Daripada dulu hingga sekarang. Tentu banyak jumlahnya.

Ejen kenit memberitahu saya bahawa PKR adalah sebuah parti kaya yang mendapat bantuan daripada pelbagai pihak. Dari mana? Ada yang dikatakan dari luar negara. Betul ke?. Terpulanglah kepada pemimpin PKR untuk menyanggahnya.

Oleh itu, tidak hairanlah jika pada PRU12 lalu kita mendapati segala persiapan pilihan raya umum parti itu seperti BN. Malah di sesetengah tempat persiapan PKR termasuk dari segi pusat penyemakan pengundian, bendera, poster dan segalanya melebihi BN. Dalam ertikata lain ada tempat, BN kalah sebelum berperang.

Oleh itu, sudah tentu rakyat di negara ini tidak kira apa latarbelakang pun ingin melihat pertembungan di antara dua orang ini. Pertemuan antara ketua dan anak murid. Perlawanan boss dan orang bawah. Atau UMNO dan PKR?

Monday, July 28, 2008

WARTAWAN SUDAH TIADA KELAS?

Nampaknya dunia politik negara semakin gila.

Wartawan dan blogawan yang membongkarkan isu pembelian Mercedes E200 Kompressor di Terengganu kini dianggap tiada kelas dan soalan mereka "tidak bertaraf nasional dan antarabangsa".

Semalam, dua pemimpin UMNO Terengganu sudah mendapat "semangat Ahmad Said" yang semakin berani dan mahu membongkarkan kelemahan tertentu termasuk memperlekehkan wartawan. Mereka pula menjadi wartawan bertanyakan soalan.

Mereka ialah Bendahari UMNO negeri, Datuk Roslan Awang Chik dan Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan.

Mereka menyifatkan WARTAWAN tiada kerja lain dengan membongkarkan perkara yang kecil dan remeh.

Bagi mereka duit pembelian Mercedes sebanyak RM3.43 juta adalah kecil saja. Apa ni?

Sunday, July 27, 2008

BPR TOLONG PERANG RASUAH POLITIK?

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan dipanggil membantu UMNO berperang dengan rasuah politik.

Ini yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) dalam satu berita oleh Malaysiakini yang memetik laporan New Sunday Times.

Selamat berperang sehingga ke akar umbi. Jangan pilih bulu.

JEFF OOI DI BLOG RTM MALAM INI

Ahli Parlimen dan blogawan, Jeff Ooi, akan ditemuramah dalam program BLOG di RTM1 jam 8.40 malam ini.

Kemunculannya sudah tentu ditunggu penonton terutama perjalanan hidupnya sebagai wartawan, blogawan, ahli politik dan blogawan yang disaman di mahkamah.

Apakah perkara menarik yang akan ditanya kepada beliau? Mengenai dunia blog secara umum? Iklan dan blog? Penguasaan pengiklan dalam blog? Perbandingan seorang blogawan dan ahli politik? Tindakannya melompat dari Gerakan ke DAP?

Selamat menonton.

KHADIJAH'S KITCHEN DI PETALING JAYA


(Khaty dan KK. Warna hijau sebagai uniform KK. Gambar oleh NST)


(Tempat makan yang santai)


(Menikmati laksa Johor, nasi dan kuah kurma. DIY yang mengambil gambar minum kopi O dan ubi kayu kelapa (berwarna kuning). Khaty kelihatan di belakang kami.)

Saya dan keluarga kini berada di Khadijah's Kitchen.

Kedatangan kami disapa sendiri oleh pemiliknya, penyanyi Khadijah Ibrahim.

Pelbagai hidangan disediakan daripada ubi kayu kelapa sehinggalah nasi beriyani tomato.

Restorannya berkonsepkan santai dan very homely. Tetapi saya suka dengan tangga ala rumah Melaka.

Jika anda di PJ, datanglah ke KK di 21, Jalan 11/2, Jalan Bukit 46200 Petaling Jaya, Selangor.

ADAKAH KULI BOLEH DAPAT CUKUP UNDI?

Adakah Tengku Razaleigh Hamzah akan mendapat 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Presiden UMNO Disember ini?

Jika anda bertanya kepada orang kuat Kuli, mereka amat yakin Anak Raja Kelantan itu akan melepasi peringkat pertama ini. Alasan mereka, bekas Menteri Kewangan ini adalah calon yang paling sesuai untuk memperbetulkan-kemelut politik dan ekonomi di negara ini.

Yang penting beliau tidak dijadikan sasaran oleh pembangkang sepertimana yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, seolah-olah masalahnya tidak padam-padam. Ketika ini, seolah-olah ada usaha terancang untuk memalukan TPM dari semasa ke semasa. Bilakah akan tamat hanya tuhan saja yang mengetahuinya.

Kritikan yang ada terhadap Kuli ialah pengharaman UMNO yang dinafikan oleh beliau dan kini terbukti berlaku di luar pengetahuannya serta ketika beliau berada di luar negara.

Orang kuat Kuli menegaskan golongan yang mereka temui di seluruh negara memberikan sokongan padu kepadanya. Bagi mereka, Kuli adalah harapan negara untuk memulihkan ekonomi sekarang yang semakin membimbangkan kerana faktor-faktor dalaman dan luaran.

Mereka tidak letih dan jemu untuk memastikan individu yang banyak berjasa dan membantu bangsa Melayu mendapat tempat di hati Melayu dan kaum lain di negara ini.

Saturday, July 26, 2008

BETUL KE BERITA INI? SIAPA SUDIN?

Membaca berita di bawah ini membuat saya tertanya-tanya mengenai kesahihan beberapa perkara.

Pertama ialah betul ke lima Ketua Bahagian UMNO Wilayah Persekutuan tidak akan dicabar? Tiada ke orang hendak menawarkan diri menjadi Ketua Bahagian selepas10 daripada 13 kerusi Parlimen di WP jatuh ke tangan pembangkang?

Kedua ialah jawatan Setiausaha Bahagian UMNO Putrajaya sudah bertukar jika diambilkira berita MStar Online sebelum ini.

Siapa yang betul, Utusan Malaysia atau MStar Online? Sudin Samat ke atau Syokree Shafee?

Ejen kenit memberitahu saya, Ketua Bahagian UMNO Putrajaya akan ditandingi oleh seorang calon yang dipanggil "badut" oleh pihak-pihak tertentu. Betul ke yang hendak menentang itu badut atau beliau benar-benar mahu bertanding melawan Ketua Bahagian sekarang?

Apapun, kita tunggulah sama ada "badut" itu (tidak sedap bunyinya kerana ejen kenit berkata tokoh itu seorang yang bersih dan tidak main duit) akan mendapat pencalonan untuk melawan Ketua Bahagian. Beliau perlu lima cawangan yang mencalonkan beliau.

Di bawah ini berita Utusan Malaysia hari ini.

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR 25 Julai - Sebanyak lima daripada 13 ketua UMNO bahagian di Wilayah Persekutuan (WP) dijangka kekal tanpa bertanding pada pemilihan bahagian, Oktober ini.

Antara yang dijangka kekal ialah Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Azim Mohd. Zabidi; Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Ridzuan Abdul Hamid.

Lapan lagi jawatan yang dijangka menyaksikan pertandingan sengit ialah UMNO Bahagian Wangsa Maju, Seputeh, Bandar Tun Razak, Batu, Segambut, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Labuan.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa, Abdullah Mat berkata, Zulhasnan dijangka dipilih semula sebagai Ketua UMNO Bahagian itu kerana kesemua 48 cawangan berikrar berdiri teguh di belakang beliau.

Menurutnya, mereka menyifatkan Zulhasnan berjaya menyatupadukan kesemua ahli UMNO dan BN di kawasan itu.

''Setakat ini, 14 daripada 48 cawangan yang mengadakan mesyuarat telah mencalonkan semula Zulhasnan untuk Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.

''Melihat arus perkembangan pada masa ini saya yakin Zulhasnan akan menerima pencalonan daripada semua 48 cawangan,'' ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zulhasnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memenangi jawatan itu pada 2004 apabila menang tanpa bertanding sewaktu menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.


Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Putrajaya, Sudin Samat berkata, walaupun mesyuarat cawangan hanya akan bermula esok tetapi arus perkembangan mendapati Tengku Adnan tidak akan dicabar untuk jawatan itu.

''Setakat ini, 25 cawangan telah menyatakan sokongan dan akan mencalonkan semula Tengku Adnan,'' ujarnya.

Bagi Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Bintang, Kamarol Zaman Haron berkata, Azim dijangka tidak ditentang dan akan mendapat sokongan penuh 25 cawangan bahagian itu.

''Setakat ini hanya dua daripada 29 cawangan telah bermesyuarat dan pada dasarnya tidak ada calon lain akan menentang Azim,'' katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Kepong, Mohd. Amin Mohd. Hatam berkata, Ridzuan yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dijangka mendapat mandat untuk mengekalkan jawatan yang disandang.

Katanya, walaupun hanya satu daripada 25 cawangan telah mengadakan mesyuarat namun rata-rata menyatakan sokongan kepada Ridzuan.

UMNO PERLU ADA JK WHISTLE BLOWER

Saya yakin UMNO mempunyai Jawatankuasa Aduan dan Disiplin untuk menjaga kepentingan ahli-ahlinya.

Bagaimanapun, sudah sampai masanya UMNO mempunyai Whistle Blowing Policy dan Whistle Blowing Committee (JK WB). Atau mengabungkan JK Disiplin dan JK WB.

What is Whistle Blowing Policy? In a simple term, it is a policy that encourages UMNO members to "inform or alert" the wrongdoings in the party. This is very important to ensure a proper medium for the members to expose issues pertaining to abuse of powers and malpractices.

For example....Can the Secretary General of UMNO uses his power to terminate anybody who might be potential to be his rival at a divison level?. Can he introduces a policy which can benefit only a certain quarters in his camp?. Thus, by having this whistle blowing policy, the members can foward their grievances complete with all the evidence to a committee.

What kind of committee? It is a whistle blowing committee which comprises people who are selected from different fields of experience in UMNO. Or... maybe outsiders. But most important the committee must be trustworthy, fair and do their work without fear or favour. Thus, the integrity of the Whistle Blowing Committee would be highly regarded and trusted by the members to ensure the success of the policy.

How does it work? The whistle blowing committee will meet and preside over cases reported by the whistle blowers. They will then decide whether there are enough grounds for the cases to be investigated. If there are, the cases then should be investigated by the auditors or the internal investigation unit/department and the outcome of the investigation must be reported back to the whistle blowing committee.

The committee then will look through the investigation and make some recommendations for the cases to be dropped/closed for lack of evidence... OR proceed to be further deliberated by the SUPREME COUNCIL /UMNO Disciplinary Action Committee.. OR major malpractices with clear and strong evidence, to proceed to make police report for further investigation.

However, at all times, the identity of the whistleblower must be protected and should the whistleblower receives any threat or harassment during the investigation period, the whistleblowing committee must be able to offer assistence to protect the whistleblower. This would help protect the integrity of the whistleblowing committee.

Biar pecah di perut dan jangan pecah di mulut. Ah ha..

My ejen kenit (minor agent) whispered to me that the whistleblowing culture has been proven a success at MAS when introduced by Datuk Seri Idris Jala which has helped the national airline reduced operation cost and is now back in the black.

I am sure many government agencies and GLCs are following suit. When is your agency going to adopt and implement this culture?

What about UMNO?

Friday, July 25, 2008

BAGAIMANA PERKARA INI BOLEH BERLAKU?

Alamak! Saya terkejut membaca berita kesemua 23 cawangan di Putrajaya hampir lumpuh kerana tidak mengemukakan Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan sejak lima tahun lalu. Siapa punya angkara ni?

Berita MStar Online di bawah ini.

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku wujudnya masalah tidak mengemukakan Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan sejak lima tahun lalu, yang hampir melumpuhkan kesemua 23 cawangannya daripada mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) kali ini.

Bagaimanapun kata beliau, masalah tersebut telah diselesaikan, sekali gus membolehkan AGM kesemua 23 cawangan itu diadakan secara berperingkat mulai esok.

“Masalah itu (Penyata Tahunan) telah diselesaikan minggu lalu. Cawangan-cawangan dalam Putrajaya boleh mula bermesyuarat esok," kata beliau ketika dihubungi mStar Online pagi ini.

Semalam mStar Online difahamkan (sila ikuti BERITA TERDAHULU di bawah) cawangan-cawangan tersebut menghadapi masalah untuk mengadakan AGM berikutan kegagalan mengemukakan Penyata Tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan setiap tahun.

Masalah itu berlarutan sejak Bahagian Umno Putrajaya dibentuk lima tahun lalu.

Bahagian Umno Putrajaya merupakan antara entiti terbaru dalam struktur Umno sejak persempadanan semula bahagian pilihan raya diguna pakai sejak 2003.


BERITA TERDAHULU:

Tiada penyata, 23 cawangan Umno Putrajaya hadapi masalah adakan AGM

PETALING JAYA: Kesemua 23 cawangan dalam Bahagian Putrajaya, antara bahagian terbaru dalam struktur Umno, dipercayai berhadapan dengan 'masalah' untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing ekoran kegagalan mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, kesemua cawangan dalam Umno Putrajaya tidak menghantar Borang 9 seperti yang disyaratkan, sejak lima tahun lalu.

“Sememangnya mereka tidak mengemukakan Borang 9 itu sejak awal lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai tempoh ‘sejak awal lagi’ yang dimaksudkan.

mStar Online difahamkan tempoh itu melibatkan sejak Bahagian Putrajaya mula ditubuhkan.

Difahamkan soal menghantar Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan biasanya diuruskan oleh sekretariat bahagian.

Di bawah peruntukan Akta Pertubuhan, sesebuah pertubuhan akan berhadapan dengan masalah - tidak sah jika gagal mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Borang 9 adalah maklumat yang perlu diberi setiap tahun oleh pertubuhan dan cawangan-cawangan pertubuhan berdaftar mengikut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.

Antara maklumat yang perlu dinyatakan dalam borang berkenaan ialah minit mesyuarat agung tahunan, salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira untuk tahun kewangan, penjelasan mengenai harta tak alih yang dimiliki pertubuhan dan penjelasan mengenai sebarang wang, harta, faedah atau keuntungan yang diterima oleh pertubuhan.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan akan menghantar notis 30 hari mengikut Seksyen 14(2) bagi meminta sesuatu pertubuhan itu mengemukakan Borang 9 jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh setahun.

Jika masih gagal mengemukakan borang tersebut dalam tempoh itu, maka notis pembatalan atau bubar sementara berdasarkan Seksyen 14(5) akan dikemukakan kepada pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun Setiausaha Umno Bahagaian Putrajaya, Syokri Shafee ketika dihubungi berkata, kesemua 23 cawangan itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti dijadualkan mulai Sabtu ini.

“Tiada apa-apa masalah mengenai itu (Penyata Tahunan). Cawangan-cawangan dalam Putrajaya akan mula bermesyuarat pada 26 Julai ini dan dijangka selesai sepenuhnya 9 Ogos depan,” katanya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan ketua bahagian tersebut.

mStar Online cuba mendapatkan penjelasan terperinci daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, namun mereka enggan memberi sebarang penjelasan rasmi.


(Renungan Rimau : Ini bahagian Putrajaya. Bahagian Setiausaha Agung UMNO. Bagaimana pula ini boleh terjadi. Sebagai ahli UMNO, tentu kita tidak lupa peristiwa UMNO diharamkan. Minta dijauhkan perkara ini berulang kepada UMNO. Tolonglah buat kerja betul-betul. Apa ni?)

NAK BAHASA PUNJABI PULAK....

Anak Kapal Singh, JS Deo, semalam mencadangkan papan tanda jalan di Pulau Pinang menggunakan bahasa Punjabi.

Katanya, pemasangan papan tanda dalam pelbagai bahasa itu merupakan penghormatan kepada kaum lain.

Selepas ini, bahasa apa pula?

Thursday, July 24, 2008

SIAPA YANG HENDAK DIPERSALAHKAN?

Apa sebenarnya yang berlaku dalam kes pembelian Mercedes?

Otak saya ini sentiasa berpusing apabila Datuk Ahmad Said semalam masih berkeras untuk menggunakan Mercedes dan menyatakan kos penyelenggaraan Proton Ekeskutif mahal. Beliau membentangkan kos yang tinggi iaitu lebih RM200,000 untuk menyelenggarakan kereta Perdana Eksekutif bekas Menteri Besar Terengganu.

Terlalu banyak soalan dalam otak ini. Siapa yang salah? Siapa yang hendak dipersalahkan? Siapa yang lemah? Siapa yang hendak dilemahkan? Apakah yang hendak dibongkarkan? Apa yang hendak diselongkar oleh Datuk Ahmad?

Adakah bekas MB Terengganu? Betul ke penyelenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi di Terengganu? Prestasi Perdana Eksekutif yang tidak baik? Adakah wujudnya penyelewengan dalam penyelenggaraan? Menegur prestasi Proton? Menggunakan surat pekeliling untuk membangkitkan rasa tidak bersalah?

Yang menarik, Menteri Besar Perak, DS Nizar Jamaluddin, yang dilaporkan oleh Buletin 1.30 tengahari sebentar tadi, menyatakan Perak akan terus menggunakan Perdana Eksekutif kerana prestasinya yang masih baik walaupun sudah lima tahun.

Beliau juga menegaskan penyelenggaraan Perdana Eksekutif di Perak rendah berbanding di Terengganu. Apa ni? Jangan peningkan kepala saya. Jangan susahkan rakyat untuk berfikir "isu Mercedes" setelah mereka tenat dengan pelbagai masalah semasa.

PESTA DURIAN MELAKA 2008


(Tok Ali berbual dengan wartawan selepas menikmati durian. Gambar oleh SUGU.)


(Durian depan mata, mentua lalu pun tak nampak. DIY dan Shafiq merenung tajam seulas durian. Dahlan cuba meneka berat seulas biji durian. Yang lain rasa pelik mengapa Dahlan hendak meneka berat, bukankah baik makan saja.)

Rakyat jelata cantik belaka
Menunggu kunjungan Tun Teja
Pesta Tahunan Durian Melaka
Durian sedap penuh dimeja

Kenduri besar lauk kawah
Gotong royong sinsing tangan
Wartawan menikmati raja buah
Sambil makan tukar pandangan

Malam gemerlap penuh cahaya
Tarian tradisi ulek mayang
Pesta durian Melaka berjaya
Rapatkan hubungan kasih sayang

Teja jelita bijak bistari
Membasuh tangan tepi perigi
Terima kasih Ketua Menteri
Tahun depan buatlah lagi

ZAHIDI MAHU TANDING KETUA PEMUDA

Malam tadi, saya bertemu Datuk Zahidi Zainul Abidin. Beliau mahu bertanding Ketua Pemuda UMNO jika berjaya mendapat pencalonan. Beliau mahu memulihkan Pemuda UMNO yang didakwa dirosakkan oleh sesetengah pemimpin sekarang.

Beliau merayu kepada saya agar meminta rakan-rakan dalam media membantunya. Tujuan? Untuk menerangkan mengapa beliau mahu bertanding dan kekotoran yang sudah dilakukan dalam UMNO. Ini penting bagi membolehkan beliau mendapat pencalonan yang cukup.

Mengapa perlu media? Datuk Zahidi, 46 tahun, mendakwa calon-calon yang berminat tidak akan dibenarkan oleh pemimpin tertentu untuk keluar media cetak atau elektronik. "Semua kawan-kawannya. Kita tidak akan ada peluang untuk memberikan suara kita. Jadi mintalah kawan-kawan yang boleh membantu kita keluar televisyen. Buat macam debat dan biarkan semua hendak bertanding bercakap apa yang mereka hendak lakukan untuk Pemuda. Ini penting bagi memastikan calon seperti saya cukup mendapat pencalonan."

Kekotoran sekarang terlalu amat busuk. Datuk Zahidi mendakwa apa yang dilakukan akan merosakkan UMNO. "Mereka menabur duit yang banyak" Bukti? "Saya diberitahu mengenai perkara ini dan ini akan menjadi satu malapetaka kepada UMNO. Mereka ada di mana-mana dan inilah yang menghancurkan negara. Ada antara mereka yang tidak menjiwai perjuangan UMNO. Perjuangan membela bangsa Melayu. UMNO bukan parti ideologi seperti PAS tetapi perjuangan membela bangsa."

Datuk Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Perlis berkata daripada rekod sebelum ini ada pemimpin yang tidak layak menjadi Ketua Pemuda. "Cuba lihat apa yang berlaku sekarang di mana lima negeri jatuh. Bayangkan kalau yang tidak layak ini menjadi pemimpin. Ada pemimpin yang mempunyai pelbagai perancangan termasuk menyekat orang tertentu. Saya ni, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO tidak dibenarkan bertanding pada PRU12. Alasannya, jika saya menang maka saya akan menjadi ancaman kepada mereka. Ini perlu disedari oleh ahli UMNO. Jangan tersalah pilih orang macam ini walaupun diberikan habuan."

Beliau berkata apa yang dilalui oleh UMNO pada PRU12 amat perit sekali. "Persepsi orang terhadap pemimpin tertingi parti kerana individu tertentu. Kalau kita biarkan ini terus berlaku, tidak ada siapa yang akan menyokong UMNO. Ini puncanya orang sudah salah pandangan terhadap UMNO kerana orang tertentu. Kita jangan takut untuk memperbetulkan keadaan ini. Ada pemimpin yang berdegar-degar untuk memperbetulkan keadaan, tetapi sekarang senyap saja dan mahu bertanding di jawatan kurang penting saja. Sungguh malang."

Datuk Zahidi kesal fenomena memberi wang ini amat dahsyat dan dibuat secara licik. "Dulu EXCO Pemuda semua orang kenal. Mereka keluar dari kilang pemuda di cawangan dan bahagian. Kini, EXCO Pemuda pun orang tak kenal. Ada antara mereka tidak pernah menjadi Pemuda cawangan atau bahagian. Jangan biarkan mereka berbuat sesuatu untuk meraih undi."

Menurut pemimpin dari Perlis ini, pada pemilihan lalu, beliau mahu bertanding Ketua Pemuda tetapi melupakan hasrat itu kerana sebab tertentu. "Ramai kawan-kawan rapat yang bekerja dipecat. Mereka ini yang saya sokong untuk bekerja."

"Saya merayu agar ahli UMNO di seluruh negara sedar mengenai perkara ini. Kita perlu memberhentikan sandiwara yang berlaku. Ada perkara diputuskan oleh kerajaan dan kemudian ada pihak lantang bersuara menentangnya kerana untuk menjadi jaguh. Tidak payahlah melaung-laungkan dalam pentas politik atau Dewan Rakyat untuk menunjukkan mereka pejuang kepentingan Melayu. Cukuplah sandiwara ini. Rakyat jangan diperbodohkan lagi oleh kumpulan yang menguasai segala-galanya."

Datuk Zahidi menegaskan beliau berani menyuarakan perkara ini kerana tidak mahu UMNO hancur dan tidak relevan pada masa akan datang. "Saya ni dari bawah. Saya tidak perlu menjadi jutawan. Saya ingin memberi khidmat untuk memulihkan parti. Dalam politik, saya bermula dari bawah dan merasai segala pengalaman. Ada calon ingin bertanding tidak pernah menjadi Ketua Pemuda Cawangan atau Bahagian. Ada calon yang kehilangan negeri. Ada calon yang merosakkan segala-galanya sekarang. Fikirkanlah demi kebaikan UMNO dan yang penting orang Melayu."

Wednesday, July 23, 2008

AHMAD SAID HERO BARU MELAYU?

Ahmad Said bukan satu nama baru dalam dunia kontroversi negara. Beliau pernah mengejutkan politik tanahair dengan kenyataannya terhadap Tan Sri Eric Chia Eng Hock berhubung pembayaran cukai.

Ketika itu, ramai yang terkejut dengan keberaniannya "mengusik" orang kuat TDM. Ada yang menganggap Ahmad Said sebagai hero ketika itu.

Ketika isu perlantikan Menteri Besar Terengganu, nama Ahmad Said muncul semula. Pada mulanya, beliau dilihat sebagai "individu yang menentang pemimpin".

Pelbagai kata-kata dilemparkannya termasuk "nangka busuk yang akan jatuh ke bumi".

Akhirnya beliau menjadi MB Terengganu. Seterusnya, Ahmad Said mahu duit royalti minyak dan Kerajan Pusat bersetuju dengannya. Beliau menang sekali lagi.

Hari ini, Datuk Ahmad mahu "mengusik" lagi Kerajaan Persekutuan. ADUN Kijal itu masih berdegil mahu menggunakan kenderaan Mercedes sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive. Ini sejajar dengan kandungan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

Menurutnya, jika kerajaan beranggapan langkah itu tidak tepat, maka pekeliling berkenaan juga perlu ditarik balik dengan segera.

Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD). Penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.

Apakah kesudahan episod ini? Mesyuarat Kabinet hari ini sudah menolak langkah Kerajaan Negeri Terengganu itu. Sama-samalah kita tunggu "Hero" atau "Kepala Batu" Melayu ini yang semakin terkenal di seluruh negara.

Apakah orang seperti ini diperlukan di Malaysia? Apa ilmu yang beliau pakai?

SANGGUP TERJUN DARI TINGKAT TIGA

Pagi ini, saya bertemu seorang yang fanatik. Begitu taksub. Sanggup terjun dari tingkat tiga untuk mendapatkan apa yang diminatinya. Bukan fanatik kepada PAS atau Nik Aziz. Bukan taksub kepada Al-Qaeda atau Barrack Obama. Peminat setia Chelsea.

Sejak sampai ke warung tempat saya menikmati sarapan pagi, beliau menjerit nama seperti Ballack. Pemuda itu terus berbual dengan anak tauke warung mengenai langkah jurulatih Chelsea yang baru, Luiz Felipe Scolari untuk membeli lebih ramai pemain.

Beliau yakin Chelsea akan jadi juara Liga Inggeris dan Piala Juara-juara Eropah. Beliau yakin Robinho dan Kaka akan menyertai Chelsea. Beliau terus mencebik bahawa Manchester United akan tersungkur. Panas telinga ini.

Hendak jadi cerita, pemuda itu duduk betul-betul di hadapan saya. Yang pelik, ketika makan pun beliau masih memuja Chelsea dengan berbual cara "jarak jauh" dengan anak tauke warung. Ah, ini peluang terbaik untuk penyokong MU ini untuk bertanya.

"Wah..peminat Chelsea rupanya."
"Ya bang."
"Chelsea nak datang, dah beli tiket ke?"
"Sudah beli..harga..RM350"
"Satu tiket RM350?"
"Ya..bang. Nak buat apa dah minat beli je. Semua saya siap dah."
"Siap dah?"
"Semua siap..dengan jersey sekali"

(Dalam hati. Banyak duit pemuda ini.)

"Nanti satu hari boleh pergi London menonton EPL."
"InsyaAllah..apabila projek cendawan saya berjalan lancar."
"Besar ke?"
"Boleh tahan. Kini hantar ke pasaraya besar. Sudah sign kontrak."

(Dalam hati. Patutlah boleh beli tiket RM350. Tauke cendawan rupanya)
Anak tauke warung datang dan duduk dekat pemuda itu.

"Apa yang kamu hendak tengok Chelsea nanti?"
"Apa-apalah...aku sanggup terjun dari tingkat tiga untuk dapatkan jersey Ballack."
"Yela tu."

(Anak tauke warung berlalu. Saya terus bersembang dengan pemuda itu mengenai projek cendawannya. Saya memberitahunya mengenai Projek Cendawan ZEK. Beliau banyak memberi nasihat termasuk penyakit oren dan hijau. Mengenai sinaran ultra-violet yang perlu dinyahkan daripada baju, seluar dan kasut. Satu pagi yang produktif. Tidak sia-sia menegur orang. Perut kenyang, saya pun berlalu.)

Tuesday, July 22, 2008

BILAKAH LAGI KITA HENDAK INSAF?

Apa ni? Bangunan asrama Kolej Kejururawatan MARA di Pengkalan Chepa, Kelantan, tiada sijil menduduki (CF)?

Buletin Utama TV3 sebentar tadi melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak menerima permohonan daripada pengurusan kolej untuk menukar arena futsal menjadi asrama pelajar.

Ini satu perbuatan yang tidak sihat seolah-olah memperjudikan nyawa pelajar yang menginap di asrama itu.

Apa akan jadi jika ada kebakaran yang membabitkan nyawa? Menyesal? Menuding jari? Apa alasannya? Bilakah lagi rakyat negara ini hendak insaf?

Dalam pada itu, ejen kenit memberitahu saya mengenai usaha MARA membuat sebuah kolej kemahiran tinggi yang menawarkan pelbagai kursus.

Yang peliknya, sebuah syarikat ditawarkan untuk menyediakan peralatan kolej itu yang diberikan kontrak secara direct nego. Ada ke lagi direct nego ni?

A good procurement policy allows for direct negotiation. However, direct negotiation is only allowed in cases where only one or two companies are able to provide the equipments or services. In this particular case, is direct negotiation allowed as the equipments could be procured through many companies? Or whether this organisation has a procurement policy? Or has this organisation change their procurement policy just for this project? Ah ha...

(Tulis bahasa Melayu semula)...Yang lagi pelik, syarikat itu dikatakan membeli beberapa peralatan yang tidak diperlukan oleh pelajar. Betul ke ni?

Kumpulan profesional dan pakar (profesor dari pelbagai universiti) yang terbabit dalam memberi nasihat penubuhan kolej itu hanya mampu menggeleng kepala. Alasan, tiada upaya.....Apa ni? Bilakah lagi rakyat negara ini hendak insaf?

Tolong jangan bazirkan duit cukai saya.

ADUN DAP CIPLAK SOALAN?

Sebelum ini, kita pernah mendengar ada wartawan yang menciplak hasil karya orang lain yang banyak ditulis dalam blog.

Buletin Utama TV3 sebentar tadi memaparkan dakwaan ada ADUN DAP menciplak soalan bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu untuk soalan Persidangan DUN Pulau Pinang kali ini.

Perkara itu didakwa oleh bekas ADUN BN berkenaan dalam satu sidang media.

Bukanlah tidak boleh tiru soalan atau isu tertentu tetapi bertindak kreatiflah sikit. Bukan tiru perkataan demi perkataan seperti yang yang didakwa dilakukan oleh ADUN DAP. Ubahlah ayat sedikit supaya tidak sama seperti karya orang lain.

Amat memalukan. Jangan buat lagi ya.

JAAFAR TAIB - THE LEGEND


(Sumber dari JaafarTaib.com)

Kartun ini mengingatkan kita kepada pelukisnya, JAAFAR TAIB.

Saya mengetahui blog Jaafar Taib menerusi ruangan SPECIAL INTEREST BLOG dalam Rocky's Bru.

Bagi saya, Jaafar Taib ialah bukan saja seorang pelukis kartun terkenal yang bersama-sama Arif Azahari memulakan GILA-GILA tetapi juga seorang artis water colour terkemuka negara.

Layarilah blognya untuk melihat sendiri kehebatan LEGENDA hidup ini.

MIKE TYSON MAHU TANDING NAIB PRESIDEN

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, hari ini mengumumkan hasratnya mahu bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti pada Disember tahun ini.

Buletin 1.30 tengahari TV3 sebentar tadi menyatakan TS Muhammad yang pernah menjadi Naib Presiden sebelum ini, mengumumkan hasrat bertanding bagi memperkukuhkan UMNO.

Selamat mencuba.

Monday, July 21, 2008

MUZAKARAH MENGUNTUNGKAN SIAPA?

Posting Terbaru - 10 pagi (22/7/2008)

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, usaha Pas mengadakan muzakarah dengan UMNO demi perpaduan umat Islam di negara ini telah mendapat restu Majlis Syura Ulama parti itu.

Beliau berkata, restu itu diberikan sebelum pertemuan pertama antara Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut beliau, pertemuan pertama antara kedua-dua pihak itu diadakan sejurus Pilihan Raya Umum Ke-12.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Abdul Hadi memberitahu, hasil pertemuan itu juga telah dilaporkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Pas memenangi 23 daripada 66 kerusi Parlimen yang ditandingi calon-calon parti itu.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas memperoleh 83 kerusi.

“Pas tidak menafikan ada pertemuan antara pucuk pimpinan tertinggi Pas dengan Abdullah bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

“Berikutan itu Majlis Syura Ulama Pas telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas mempertingkatkan kesungguhan dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam,’’ kata Abdul Hadi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai reaksi Presiden Pas itu terhadap pendedahan Abdullah yang juga Presiden UMNO bahawa muzakarah UMNO dan Pas telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan keagamaan dan orang Melayu.

Perdana Menteri berkata, UMNO ikhlas dalam menjayakan pertemuan dengan Pas demi perpaduan Melayu dan kepentingan masa depan umat Islam.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menjelaskan, pertemuan Abdullah dengan pemimpin peringkat tinggi Pas itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut beliau, susulan daripada pertemuan pertama itu, satu lagi perbincangan telah diadakan di bangunan Parlimen antara pucuk pimpinan Pas dengan Abdullah.

Pertemuan di bangunan Parlimen itu hanya membabitkan Timbalan Presiden Pas dan Perdana Menteri.

“Pertemuan ini juga telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulama,’’ ujarnya.

Posting Asal - 21/7/2008

Muzakarah UMNO dan PAS sudah berjalan sebanyak TIGA KALI antara pemimpin kedua-dua parti. Pemimpin tertinggi UMNO dan PAS mengakuinya.

Bagi bangsa Melayu ini adalah satu perkembangan sihat kerana kedua-dua parti bersetuju bertemu dan bermuzakarah demi kepentingan agama dan bangsa.

Melayu perlu bersatu jika ada pihak sudah mula mempersoalkan kontrak sosial dan Ketuanan Melayu. Melayu perlu mempertahankan hak mereka apabila ada pihak yang kini mula melarang pembinaan surau di negara ini. Ingat peristiwa di Desa Mentari.

Muzakarah UMNO dan PAS adalah baik untuk bangsa Melayu. Daripada bermasam muka, bercakaran dan melemparkan tuduhan antara satu sama lain, lebih baiklah berbaik-baik.

Namun, perkembangan "bermula putik persahabatan" ini sudah tentu tidak digemari oleh rakan PAS iaitu PKR dan DAP.

Nampaknya, DAP amat marah sekarang kerana parti yang memainkan sentimen perkauman yang sempit itu kini tersepit antara untuk menyokong "pakatan" pembangkang atau kepentingan Melayu. Ini kerana parti itu sudah mendodoikan lagu pada PRU12 bahawa "menyokong BN adalah tindakan memperkuatkan Melayu".

Bagi pihak PKR pula, yang ramai pengikut setia daripada keturunan India terutama barisan peguam muda, pasti akan mula bertanya kepada pemimpin tertinggi mereka sama ada parti itu akan terus memperjuangkan Malaysian Malaysia dan sama rata, sama rasa.

PAS sudah tentu akan diminta menyatakan pendirian mereka mengenai muzakarah ini. Bagi BN, parti komponen sudah lama memahaminya.

Sunday, July 20, 2008

TEE KEAT MAHU JADI PRESIDEN MCA

Datuk Ong Tee Keat, pemimpin MCA yang tidak suka dengan perkataan KETUANAN MELAYU kerana ia mengingatkan beliau mengenai hubungan "tuan" dan "hamba", mahu bertanding sebagai PRESIDEN parti itu pada pemilihan Oktober depan.

Laporan Malaysiakini menyebut Naib Presiden itu mahu bertanding kerana Datuk Seri Ong Ka Ting mengumumkan tidak mahu mempertahankan jawatannya.

(Renungan Rimau : Saya melihat Datuk Ong ini seorang pemimpin yang dihormati oleh semua kaum termasuk bangsa Melayu. Beliau menyiarkan perbelanjaan di kawasan Parlimennya dalam internet. Semua orang boleh membaca dan mengetahui semua aktiviti yang beliau lakukan untuk rakyat. Tiada selindung, tiada seleweng. Lebih ramai lagilah wakil rakyat seperti ini.)

AFDLIN SHAUKI TETAMU BLOG RTM


(Poster filem SEPI - Afdlin dan Nasha)

Jangan lupa menonton program BLOG yang akan menampilkan pelakon filem/teater, pelawak, pengacara, penyanyi, pengarah dan blogawan Afdlin Shauki Aksar , pada jam 8.40 malam ini di RTM1.

Alamat blog Afdlin - SELAMBAKODOK'S HOUSE ialah http://afdlinshauki. blogspot.com. Program itu akan dihoskan oleh Datuk Chamil Wariya.

Selamat menonton.

SHABERY TIDAK PERLU LETAK JAWATAN


(Hari pertama Menteri Penerangan disambut oleh KSU, Datuk Kamaruddin Siaraf)


(DIY (kanan sekali depan) dijemput menjadi peserta Bengkel Blog di IPTAR. Dato' Shabery berbaju putih menjadi moderator bengkel itu. Turut serta blogawan lain, AAT, AKJ, RON dan pengacara BLOG, Datuk Chamil Wariya)

Saya tidak pernah bersetuju apa yang dibincangkan dalam Kabinet disebarkan kepada orang ramai. Disebarkan ke seluruh negara. Ada rahsia besar yang perlu dijaga terutama membabitkan dasar atau keputusan kerajaan yang sensitif.

Saya juga pelik bagaimana perkara yang dibincangkan dalam Kabinet disebarkan terutama membabitkan dasar atau keputusan tertentu. Sedikit masa dulu apa yang dibincangkan itu disebarkan oleh media asing dan tempatan. Terlalu kerap. Malah seorang Menteri pernah menegur mengenai keadaan yang tidak sihat itu.

Ada beberapa faktor perkara-perkara yang dibincangkan dalam Kabinet diketahui serta dibincangkan oleh orang ramai, dilaporkan media atau tersebar dalam blog dan media baru.

Pertama ia dinyatakan sendiri dalam majlis rasmi oleh anggota Kabinet seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri. Kedua ia dinyatakan oleh anggota Kabinet dalam post Kabinet kementerian masing-masing. Ketiga ialah anggota Kabinet memberitahu keluarga, rakan atau sahabat terdekat.

Keempat ialah apabila anggota post Kabinet memberitahu orang luar daripada Kementerian. Orang luar pula memberitahu rakan mereka yang lain. Banyak lagi kemungkinan yang menyebabkan maklumat yang dibincangkan dalam Kabinet disebarkan kerana tujuan atau niat yang hanya Allah SWT yang tahu.

Kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca dengan apa yang saya dengar berlaku dalam Kabinet minggu lalu. Ia bukanlah rahsia besar, tidak sensitif dan mengancam keselamatan negara.

Saya diberitahu oleh ejen kenit bahawa Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, kerana berjaya berdebat dengan DSAI. Paklah berkata kepada Menteri Penerangan bahawa beliau tidak perlu meletakkan jawatan.

Oleh itu, Dato' Ahmad Shabery teruskan saja kerja dan perbanyakkan kegiatan penerangan yang menguntungkan rakyat. Jangan hiraukan dengan apa yang diperkatakan oleh orang lain, setelah "boss" sendiri sudah kata tahniah. Yang penting, rakyat menang.

Saturday, July 19, 2008

PUTRA HEIGHTS YANG SEMAKIN TERKENAL

Putra Heights kini semakin terkenal. Semalam, seorang anggota polis dari Balai Polis Putra Heights dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan merogol gadis. Sebelum ini, ada laporan anggota dari Balai Polis itu membelasah pendatang tanpa izin. Balai Polis di situ asalnya adalah salah sebuah rumah teres.

Tidak tahulah apa hendak diperkatakan mengenai kedua-dua peristiwa itu. Sudah tentu ia mendatangkan nama tidak baik kepada Putra Heights. Menjadi harapan agar harga hartanah di sini tidak jatuh disebabkan publisiti yang tidak diperlukan itu.

Kini warung tomyam Bukit Lanchong yang amat digemari oleh penduduk Putra Heights dipenuhi lalat. Ini akibat tindakan pelesit yang membakar sampah berdekatan di waktu malam.

Saya pernah menyiarkan gambar dan laporan The Star mengenai kegiatan pembakaran sampah itu.

Akibat tindakan membuang sampah itu, kini lalat banyak di warung tomyam Bukit Lanchong itu. Saya juga mendapati lalat itu sudah mula berkeliaran di dua lagi restoran yang terletak 500 meter dari situ iaitu Restoran Makjah dan Mawar.

Saya berharap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berbuat sesuatu mengatasi perkara itu. Kesihanilah peniaga makanan di situ yang terjejas perniagaan mereka.

(Renungan Rimau : Malam tadi, laporan Buletin Utama TV3 kata Putra Heights, Puchong tetapi Warta Perdana RTM kata Putra Heights, Subang Jaya. RTM yang betul. Apa dah jadi dengan wartawan jenayah TV3? Pengarang Beritanya pula bagaimana?)

Friday, July 18, 2008

DNA TU MACAM CERITA DALAM CSI KE?

Malam tadi, ketika menonton Buletin Utama TV3, perkataan DNA disebut. Lantas IYRA (10 tahun) yang sedang makan bertanya kepada saya, "DNA tu... macam dalam cerita CSI ke daddy?".

Saya segera menyebut "ya" dan IYRA terus makan tanpa soalan lagi.

Dalam hati saya, "bagus juga dia tonton CSI, tahu juga perkataan DNA itu. Tapi tahu ke dia mengenai apa yang dilaporkan dalam Buletin Utama itu? Ah..takpelah, kamu kecil lagi. Satu hari nanti kamu tahulah apa yang berlaku sekarang."

Nak cari DNA..Nak cari DNA (macam skrip felem TS P Ramlee)

Thursday, July 17, 2008

DUIT BERJUTA DOLLAR YANG TIADA

Saya pernah terbaca dalam internet (dalam blog mana, dah lupa daah) mengenai jumlah wang yang TDM ada di luar negara. Dalam senarai itu juga ada nama Menteri, nombor akaun bank dan jumlah yang dimiliki. TDM menafikannya dan membenarkan bank yang disebutkan itu memberikan segala maklumat kepada umum, jika maklumat itu benar.

Hari ini, ketika bersembang dengan seorang bekas Ahli Parlimen, beliau memberitahu saya bahawa dua minggu lalu, seorang kawan menunjukkan kepadanya satu senarai yang menunjukkan beliau mempunyai jutaan dollar di bank luar negara.

Dalam senarai "penyokong kuat DSAI" itu, kawan saya itu berada nombor dua selepas orang kuat Kumpulan Abrar, Rahim Ghouse. Nama lain termasuklah Salamon Selamat.

Menurutnya, beliau tergelak melihat senarai yang diperolehi dalam internet itu. Katanya, orang lain beliau tidak tahulah tetapi bagi dirinya ia satu pembohongan besar. Dalam pada itu, beliau berkata "kalau betul, oklah juga tetapi malangnya, tiada. I wish, its real.". Hanya impian sajalah.

Saya mencelah, "Inilah dunia. orang yang tiada duit dikatakan banyak duit. Yang banyak duit tu pula, orang tidak tahu... melambak duit mereka. Kalau hasil penat sendiri oklah. Jangan yang tamak dan bertukar menjadi pelesit. Sentiasa tidak cukup saja. Orang lain punya pun dia nak kebas."

BOLEH KE SERAH LAPORAN POLIS?

Sebentar tadi, saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertikaikan tindakan polis yang tidak memberikan laporan polis Saiful yang diminta kepadanya. AgendaNews juga menghantar berita yang sama kepada saya.

Saya bertanya kepada seorang polis pencen mengenai perkara itu. Beliau berkata memanglah polis tidak boleh memberi sebarang laporan polis oleh seseorang kepada sesiapa saja kecuali yang dibenarkan oleh peraturan pasukan itu.

Ada tak lagi penjelasan polis pencen di luar sana?

Mengapa mahu melihat laporan polis itu? Jika tidak diberi, saya yakin DSAI akan menimbulkan perkara lain.

Apa agaknya?

AZHAR OSMAN MENINGGALKAN KITA..

Saya mendapat pengesahan daripada sahabat di Berita Harian bahawa rakan di TV3, Azhar Osman, sudah meninggalkan kita. Beliau menghidap barah meninggal dunia di Hospital Pantai, Kuala Lumpur jam 9 pagi.

Beliau pernah bertugas di beberapa tempat termasuk di TV3 dan ISIS. Jawatan terakhir beliau ialah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Semoga rohnya ditempatkan oleh Allah SWT bersama orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.

JUMLAH PENONTON DEBAT 2008 - 4.4 JUTA

Waa..bilangan penonton Debat Agendadaily.com antara Dato' Ahmad Shabery Cheek dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam semalam ialah 4.4 juta orang. Banyaknye..

Pecahan kepada jumlah itu ialah TV3 1.902 juta, TV9 1.938 juta, ASTRO Awani 338,000 dan Bernama TV 238,000.

Ini bermakna 4.4 juta di seluruh negara mendengar hujjah dan penjelasan Perdana Menteri Sedang Menunggu dan Panglima Perang Paklah. Ini tidak termasuk penonton dari seluruh dunia yang mengikuti siaran menerusi tv internet.

Apakah kesan kepada jeritan pembangkang selama ini? Apa pula impak kepada perjuangan parti kerajaan?

Bagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kajian keberkesanan debat itu perlu dilakukan bagi tindakan seterusnya.

Apakah debat ini akan diteruskan?

Wednesday, July 16, 2008

NOTE RM1,000 DAN RM500 BOLEH DITEBUS?

Setelah lapan tahun, wang ringgit denominasi RM1,000 dan RM500 KINI boleh ditebus di Bank Negara. Begitu lama dan kini baru boleh ditebuskan. Pasti ada banyak soalan terhadap keputusan baru ini.

Mengapa perkara ini boleh berlaku? Apa sudah jadi ni? Mengapa lapan tahun? Kumpulan mana yang hendak tukar wang RM1,000 dan RM500? Siapa yang selama ini mempunyai note ringgit RM1,000 dan RM500 dan kini mahu menebusnya? Mengapa Bank Negara membenarkan sekarang?

Perkara itu ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, sebentar tadi di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, usulnya ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Anda bagaimana?

Tuesday, July 15, 2008

DEBAT 2008 : RAKYAT MENANG

Posting Terbaru (9.10 pagi (16/7/08)

Pandangan Blogawan mengenai DEBAT 2008.

ROCKY ( And the Winner is.... )

BIG DOG ( Anwar gagal pertahan....)

PAHIT MANIS ( ..Set new benchmark...)


Posting Asal (11.59 malam (15/7/08)

Debat malam ini dimenangi oleh rakyat.

Budaya baru dalam menangani kemelut negara.

Bukan demonstrasi tetapi berdebat secara sihat dan berani.

Anak jantan, tidak takut mati.

Tahniah Agendadaily.com.

(On the move. Posting guna Nokia E90)

PEMBANGKANG SAJA MEWAKILI RAKYAT?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebelum keluar daripada Dewan Rakyat semalam kerana hampa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ditolak oleh Speaker, mempersoalkan mengapa "suara rakyat" yang dibawanya itu ditolak.

Ketika itu, ramailah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang seolah-olah serentak bersuara iaitu "kami pun mewakili suara rakyat" amat menarik dibincang siapakah sebenarnya yang mewakili rakyat - ahli parlimen parti kerajaan atau pembangkang.

Bagi saya, Ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak adalah suara rakyat dan mereka perlulah mengutarakan masalah pengundi dan mengemukakan pandangan bernas untuk kepentingan rakyat di dewan mulia berkenaan.

Oleh itu, tindakan sesetengah Ahli Parlimen yang sengaja mahu membawa "isu-isu politik" kepartian di dalam dewan sudah tentu merugikan rakyat. Ini kerana mereka adakala mengambil masa yang panjang untuk bertelagah mengenai isu politik yang ada antaranya sudah basi dan diulang tayang.

Antara isu-isu politik yang dibawa ialah tuduhan rasuah terhadap kerajaan, perjuangan politik perkauman sempit, nepotsime politik, ingin menegakkan negara Islam, terlalu lama menjadi presiden dan peralihan kuasa.

Ada juga pertelagahan besar membabitkan Ahli Parlimen yang suka memanggil gelaran antara satu sama lain seperti katak, barua, bodoh atau orang utan. Pertengkaran mengenai gelaran ini menyebabkan Dewan Rakyat menjadi riuh rendah dan akhirnya bertukar menjadi sarkas. Ahli Parlimen pula dilihat macam haiwan sarkas.

Ahli Parlimen perlu menggunakan kesempatan di Dewan Rakyat untuk membangunkan negara ini menerusi cadangan dan pandangan bernas. Mereka perlu menggunakan masa yang diberi untuk membuat teguran dan kritikan membina kerana mereka adalah wakil rakyat.

Jika sesekali menggunakan isu politik boleh dimaafkan tetapi jika setiap ayat terkeluar daripada mulut mereka mempunyai unsur-unsur seperti itu sudah tentu dewan tidak akan dapat berjalan dengan baik. Rasa marah dan dendam sentiasa membara.

Jika rakyat mengetahui apa yang dilakukan di Dewan Rakyat hanya membuang masa dan ingin menegakkan benang basah, sudah tentu mereka akan kecewa dan hampa. Ahli Parlimen sebegini perlu ditolak dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Saya juga merasakan bahawa tindakan pembangkang keluar dewan juga adalah satu manifestasi kumpulan berfikiran singkat dan mencari publisiti murahan. Publisiti untuk apa? Adakah publisiti itu menguntungkan rakyat?

Oleh kerana ingin menunjukkan "penyatuan" atau mahu memperlecehkan Speaker Dewan kerana ketegasannya, maka pembangkang pun keluar dewan beramai-ramai lagaknya seperti "hero yang baru pulang daripada peperangan". "Kepulangan hero ini" amat dinanti-nantikan oleh wartawan dan jurugambar di luar dewan.

Sebenarnya, tindakan mereka itu merugikan rakyat dan negara.

Ada pihak di sini menganggapnya sebagai SANDIWARA.

Monday, July 14, 2008

DEBAT 2008 BERJALAN LANCAR

Semua persiapan untuk mengadakan Debat 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam esok berjalan lancar.

Pengarang Agenda Daily, Sdr Hanafiah Man, yang ditemui oleh Dunia Tiger berkata pihaknya telah mengadakan persiapan rapi terutama dalam memastikan debat itu berjalan sepertimana yang dirancangkan.

Ini termasuk penyiaran oleh empat stesen televisyen iaitu TV9, ASTRO Awani, Bernama TV dan TV3 yang akan menyiarkan siaran tertunda.

"Aspek paling penting ialah keselamatan. Kita telah membuat persiapan rapi berhubung dengan aspek ini. Kita juga telah meminta kedua-dua pihak untuk tidak membawa penyokong ke tempat berlangsungnya acara debat ini kerana semua berpeluang mengikuti debat ini yang disiarkan secara langsung melalui televisyen," katanya.

Hanafiah juga memaklumkan, kedua-dua pihak telah menyerahkan senarai 50 tetamu masing-masing yang akan menghadiri debat itu dan hanya mereka dibenarkan masuk ke dewan berkenaan.

Katanya, walaupun ramai yang memohon untuk hadir tetapi pihak Agendadaily.com tidak dapat memenuhi permintaan itu bagi memastikan kelancaran program itu.

TIDAK BERSIH JANGAN BERTANDING

Menteri diJabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan ahli UMNO yang tidak BERSIH tidak payahlah bertanding.

Baginya, mereka yang tidak bersih ini akan menyusahkan parti kerana orang luar akan memandang serong jika mereka terpilih dan memegang jawatan.

(Renungan Rimau: Saya rasa ini pandangan yang ikhlas dan baik. Oleh itu, sesiapa saja yang tidak bersih dan mempunyai "kes" sebelum ini tidak payahlah bertanding demi menjaga nama baik UMNO. Jika lidah terasa pedas, faham-fahamlah apa tindakan yang perlu dibuat - berundur atau tarik diri.)

DEBAT 2008 : RAKYAT MENANG? (5)

Apakah hasil Debat 2008, menyaksikan rakyat akan menang? Menang kerana tiada lagi kekecohan yang dirancang oleh pembangkang. Tiada lagi demonstrasi jalanan yang banyak merugikan masa, tenaga dan wang ringgit.

Tiada lagi gangguan sehingga membantutkan usaha merancakkan ekonomi dan menstabilkan politik.

Inilah sebenarnya harapan saya. Agar debat kali membuka mata kita semua bahawa tidak payahlah mengikut orang gila berdemonstrasi di jalanraya dan menyusahkan hidup rakyat.

Lihatlah apa yang berlaku pagi ini. Oleh kerana ada orang gila yang hendak berdemonstrasi di Parlimen, kehidupan orang di bandar seperti saya ini amat memeritkan. Bayangkan, saya terpaksa melalui satu kesesakan lalulintas kerana polis hendak mencari pengikut-pengikut gila ini daripada berdemonstrasi di Parlimen.

Persoalannya, jika sudah berniat untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, berucaplah di Parlimen dan tunggulah keputusan Tuan Speaker. Apakah dengan berarak dan berdemonstrasi di Parlimen akan "membuka hati" Tuan Speaker untuk memberi laluan kepada mereka? Fikirlah mengenai rakyat Malaysia yang lain.

Sebagai pemimpin politik, perkara utama yang perlu difikirkan ialah keselesaan rakyat. Apabila kerajaan menstrukturkan semula subsidi yang menyebabkan harga minyak naik, mereka mengaku juara dengan mengatakan bahawa rakyat ditindas, rakyat tidak dibela.

Apakah dengan membuat demonstrasi yang menyusahkan rakyat tidak boleh dikatakan rakyat menghadapi kesusahan disebabkan perangai pemimpin yang entah apa-apa? Bertaubatlah. Ini bukan zaman dulu yang boleh menghasut rakyat.

Bagi saya, demonstrasi jalanan ini tidak sesuai di negara ini. Percaya dan yakinlah. Jika kita mempunyai tabiat untuk mendemostrasi dan menghasut rakyat membenci kerajaan, berhentikanlah kerana ia amat merugikan negara ini. Carilah cara lain yang bertamadun dan bukannya terpekik terlolong yang boleh membuat orang menyampah.

Saya rasa pemimpin yang menganjurkan demonstrasi jalanan tidak kira apa parti sekalipun tidak layak menjadi pemimpin negara ini. Apakan tidaknya, tindakan mereka menyusahkan rakyat yang terpaksa menghadapi kesesakan dan segala penderitaan mental.

Oleh itu, bermula saat ini terimalah budaya berdebat dengan sihat terhadap apa saja isu di bawah matahari dan berhentikanlah berdemonstrasi jalanan.

Mungkin kita boleh berucap berapi-api di pentas politik atau apa saja pentas tetapi menjadi takut untuk berdebat. Carilah orang lain yang boleh berdebat dengan sihat dengan pemimpin kerajaan bagi mengetengahkan pandangan mereka.

Janganlah menyusahkan hidup rakyat lain yang selama ini sudah menyampah dengan tabiat tidak senonoh sesetengah pemimpin yang menganjurkan demonstrasi jalanan, menggalakkan orang membuat akuan bersumpah, menyaman orang dan mengadakan segala macam perkara yang bertujuan membuat negara ini kecoh.

Saya rasa tidak susah untuk membuat rakyat di negara ini sakit hati dengan kerajaan apatah lagi ada dasar jangka panjang yang mungkin boleh memeritkan kehidupan dalam masa terdekat.

Sebagai rakyat, saya juga merasa perit dengan kenaikan harga minyak. Tetapi satu perkara yang saya lalui ialah saya kini sentiasa memikirkan mengenai kos perbelanjaan minyak dan berusaha mengurangkan kos termasuk letrik dan air.

Mungkin usaha kerajaan menstrukturkan semula subsidi ini ada hikmah tertentu dalam jangka panjang dan ia boleh mengubahkan sikap kita daripada boros kepada yang berjimat cermat. Lainlah kalau kita banyak duit, tinggal dalam banglo dan tiada kerja lain menghasut rakyat membenci kerajaan. Berhentikanlah.

Sunday, July 13, 2008

HUBUNGAN PAS & PKR BELUM SEMPURNA?

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata hubungan antara PAS dan PKR masih belum sempurna.

Buletin Utama TV3 sebentar tadi menyiarkan kenyataan Datuk Nik Aziz bahawa PKR baru setahun jagung dan PAS perlu masa panjang untuk menyempurnakan hubungan itu.

DEBAT 2008: SIAPA MENANG? (4)

Posting Terbaru (12.45 tengahari)

Penganjur, Agenda Daily, memberitahu pelanggan Agenda News bahawa ada sedikit perubahan dari segi medium siaran langsung. Ia akan disiarkan oleh TV9 dan Astro Awani (501). TV3 akan menyiarkan siaran tertunda. Semua persiapan penganjuran berjalan lancar. Majlis itu diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia akan dipengerusikan oleh Pengerusi DBP, Datuk Johan Jaafar, yang juga kolumnis dan pengacara terkemuka. Beliau dikatakan akan memberhentikan debat jika pendebat lari daripada tajuk yang dipersetujui. Ini termasuk membincangkan isu politik semasa.


Posting Asal (11.24 pagi)

Ketika ramai yang beranggapan Debat 2008 mampu menonjolkan imej Dato' Ahmad Shabery Cheek dalam UMNO, Panglima Perang Paklah beberapa kali menegaskan itu bukan matlamat sebenar. Malah, beliau sudah menyatakan tidak mahu bertanding sebarang jawatan pada pemilihan UMNO Disember ini termasuk ahli Majlis Tertinggi.

Daripada pemerhatian saya, Panglima Perang bukan mahu mengejar publisiti murahan tetapi ingin membawa satu "budaya baru" di kalangan Pak Menteri agar berani berhadapan dengan sesiapa saja untuk menerangkan dasar kerajaan. Pak Menteri mesti berani kerana bercakap benar.

Ini penting kerana sebagai Pak Menteri, mereka bersama-sama berbincang dan bersetuju secara konsensus apa yang ingin dilakukan oleh kerajaan. Adalah malang bagi Kabinet Malaysia, jika ada Menteri yang sudah bersetuju dalam Kabinet tetapi menyatakan perkara yang berlainan di luar seperti di pentas politik atau apa saja medium komunikasi termasuk akhbar nyamuk.

Menteri yang seumpama itu sebenarnya bukan seorang "team player" malah boleh memalukan imej kerajaan di mata masyarakat. Jika Pak Menteri itu merasakan beliau dalam satu pasukan, sudah tentulah akan mengikut segala keputusan yang dibuat secara konsensus. Dalam ertikata lain membantu menjelaskan apa yang dipersetujui. Itu baru betul.

Pak Menteri tidak boleh mengatakan bahawa, "Itu keputusan Kabinet, tetapi saya tidak bersetuju sama sekali" di hadapan rakyat. Ini menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak sepakat. Ini menggambarkan Pak Menteri itu ada agenda lain yang hanya diketahui oleh dirinya.

Sudah pastilah, jika ada sesuatu dasar yang ingin diperkenalkan, ada pihak yang tidak bersetuju. Tetapi dengan hujjah dan perbincangan seimbang, keputusan yang dibuat oleh majoriti perlu diberi sokongan. Begitu juga dalam UMNO, kita tidak mahu ada ahli MT yang tidak bersetuju terhadap sesuatu dasar yang mendapat sokongan majoriti. Melainkanlah, UMNO ada pemimpin diktator yang kejam dan zalim.

Sebagai team player dan Menteri pelapis, Panglima Perang sanggup berhadapan dengan DSAI yang selama ini tidak ditangkis dan diperbetulkan. Itu yang menjadi harapan Panglima Perang agar apa yang dikatakan oleh DSAI selama ini dapat diperbetulkan.

Adakala rakyat akan percaya dengan apa yang diperkatakan apabila ia dikeluarkan oleh orang yang pernah menjadi pemimpin negara. Isu itu semakin menyerlah apabila tiada pihak yang menangkis atau menyangkalnya. Ia pasti dianggap betul.

Dalam hal ini, DSAI ingin menyatakan jika beliau dipilih harga minyak akan turun dan mekanisme itu akan diterangkan dalam debat sepertimana yang dinyatakan di Seremban baru-baru ini. Kita ingin tahu apa mekanisme itu.

Panglima Perang pula perlu menerangkan rasional penstrukturan subsidi yang membabitkan kenaikan harga minyak. Beliau perlu menerangkan mengapa kerajaan tiada pilihan lain selain melaksanakan penstrukturan subsidi untuk rakyat.

Dato' Ahmad Shabery perlu menjelaskan tuduhan bahawa kerajaan menghapuskan subsidi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak walaupun ia tidak benar. Kerajaan masih meneruskan subsidi dan memilih untuk memberikan terus kepada golongan yang memerlukan.

Mungkin, Dato' Ahmad Shabery boleh menjelaskan mengenai pertanyaan pembangkang mengapa kerajaan tidak menggunakan wang Petronas untuk meringankan beban rakyat. Dalam ertikata lain mengambil lebih sikit daripada apa yang dilakukan sebelum ini, bagi terus memberi subsidi kepada harga minyak. Umpamanya, ambil kira-kira RM10 bilion lagi untuk menampung subsidi agar rakyat tidak menerima kesan daripada kenaikan minyak.

bersambung.....

Saturday, July 12, 2008

KHALED NORDIN NAK JADI NAIB PRESIDEN

WAA...semakin ramai yang berminat hendak menjadi Naib Presiden UMNO. Yang terbaru ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hari ini, DS Khaled yang pernah menjadi Setiausaha Politik Datuk Shahrir Samad, mengumumkan penawaran diri bertanding jawatan itu pada pemilihan parti Disember ini.

Mengikut Utusan Online, Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, beliau bersedia bertanding jika mempunyai cukup pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO dari seluruh negara.

"Saya tidak menghalang mana-mana bahagian mencalonkan saya untuk jawatan Naib Presiden UMNO dan saya tidak akan berkecil hati kalau orang lain yang menang nanti kerana apa yang penting sekarang ialah memperkukuhkan UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis perasmian berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan dan Taklimat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Plentong, Johor.

Nampaknya makin ramai pemimpin pelapis UMNO yang bersedia untuk melangkah "setakuk" lagi dalam hiraki kepemimpinan parti. Selain DS Khaled, antara mereka yang sudah mengumumkan pendirian terlebih dulu ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang akan mempertahankan jawatan dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Lagi ramai, lagi meriah kot. Yang penting, jangan tabur duit dan janji beri projek untuk mendapatkan pencalonan. Banteras dan hapuskan politik wang.

ANASIR LUAR INGIN MILIKI PETRONAS?

Sebelum ini, saya diberitahu oleh seorang kawan mengenai ada semacam usaha untuk menghapuskan kegemilangan bangsa Melayu di Malaysia. Ini termasuk memalukan peneraju GLC, agensi kerajaan dan pemimpin Melayu yang telah berjasa. Mereka memainkan sentimen perkauman sempit dan menaikkan semangat orang lain marahkan orang Melayu.

Dalam ertikata lain. mereka menyalahkan pemimpin Melayu yang memerintah sekarang dengan dasar yang diuar-uarkan tidak menguntungkan semua pihak. Mereka sering membangkitkan dasar-dasar tertentu yang dikatakan menguntungkan bangsa Melayu.

Yang terbaru, saya diberitahu ialah usaha "menyerang" Petronas dengan mengambil kesempatan tindakan kerajaan menstrukturkan semula subsidi yang membabitkan kenaikan harga petrol dan diesel. Mereka menuduh seolah-olah keuntungan Petronas disorokkan oleh pihak tertentu. Amat menjelekkan.

Hari ini, ejen kenit memberitahu saya bahawa seorang pemimpin kerajaan memberitahunya serangan terhadap Petronas itu dikatakan perlu sampai ke tahap "bleeding" atau berdarah.

Matlamat mereka ialah agar Petronas, yang kini terkenal sebagai sebuah syarikat antarabangsa yang diberikan penarafan AAA dan antara syarikat yang tergolong dalam New Seven Sisters, perlu dihancurkan. Petronas perlu diserang bertubi-tubi.

Alasannya ialah apabila Petronas sudah bermasalah, mereka akan menawarkan diri untuk menguruskan syarikat petroleum negara itu. Ketika itu, syarikat atau individu akan meminta konco-konco mereka di negara ini mencadangkan syarikat mereka.

Bagi saya, tidak sukar untuk memikirkan faktor yang menyebabkan mereka amat tertarik dengan Petronas. Mereka ingin memiliki Petronas.

Apakan tidaknya, Petronas kini berjaya menerokai 38 negara dalam usaha mencarigali minyak dan tawaran untuk syarikat itu terus diterima sehingga kini. Petronas dilihat berada di mana-mana termasuk negara yang berperang seperti Sudan.

Petronas berada di Aljeria, Chad dan kini di rantau ini seperti di Myanmar dan kejayaan yang terbentang di depan mata amat dicemburui oleh syarikat-syarikat antarabangsa lain.

Inilah jalan mudah untuk mendapatkan Petronas. Jika Petronas dimiliki sudah tentu tenaga profesionalnya boleh dimiliki dan segala kontrak jangka panjang akan berada di dalam gengaman mereka. Jika mahu memulakan syarikat baru, kejayaannya akan mengambil tempoh masa yang lama. Langkah mudah ialah merampas pemilikan Petronas.

Anasir luar ini amat mengidam untuk memiliki Petronas, seekor angsa bertelurkan emas.

Oleh itu, adalah malang dan satu malapetaka kepada negara ini jika ada pihak tempatan tidak kira apa bangsa sekalipun, menjadi dalang atau perosak bagi membolehkan Petronas jatuh ke tangan orang lain.

Mereka ini adalah pengkhianat dan petualang negara. Perlu dicari dan dihukum.
Terserahlah kepada kerajaan untuk bertindak segera sebelum nasi menjadi bubur.

Jangan biarkan angsa yang mengeluarkan telur emas dirampas. Jangan biarkan generasi akan datang menyumpah kita kerana kelalaian dan kebodohan kita.

DEBAT 2008: SIAPA MENANG? (3)

Ramai yang tidak bersetuju dengan tajuk posting blog ini mengenai Debat 2008 yang mengemukakan persoalan siapa yang akan menang. Bagi mereka ini bukanlah debat perdana yang menyaksikan akhirnya ada pemenang dengan perkiraan markah tertentu.

Namun, hasrat mengutarakan persoalan itu ialah untuk berkongsi pandangan bersama pelayar blog ini, siapa yang akan untung setelah Debat 2008 itu selesai. Adakah Panglima Perang atau Perdana Menteri Sedang Menunggu? Adakah Shabery atau Anwar? Adakah kerajaan atau pembangkang?

Ramai kawan-kawan menyatakan yang akan untung daripada debat ini ialah DSAI. Ini kerana PMSM ini akan mendapat satu ruang di televisyen nasional untuk mempamerkan ketokohannya semula kepada semua lapisan rakyat.

Jika sebelum ini, kepetahannya berucap dan berhujjah hanya di pentas ceramah politik, TV Pas, TV Malaysiakini atau youtube, tetapi kali ini di televisyen teresterial dan berbayar yang akan ditontoni oleh jutaan rakyat.

Peluang ini sudah tentu akan digunakan sebaik mungkin terutama dalam mengingatkan rakyat bahawa beliau pernah menjadi pemimpin pemuda, pemimpin pelapis dan akhirnya Timbalan Perdana Menteri. Mereka pasti mahu mengingatkan penonton bahawa pengalamannya selama 14 tahun dalam politik tanahair.

Saya difahamkan Debat 2008 akan dibuat ala Presidential Debate di Amerika Syarikat yang mengandungi elemen pembuka bicara kedua-dua pendebat, soalan daripada wartawan serta penggulungan oleh Panglima dan DSAI.

Oleh itu, adalah menarik untuk menyaksikan siapa yang akan membuka gelanggang dan bagaimana tone atau mood perdebatan itu. Adakah DSAI akan memulakannya dengan serangan bertubi-tubi terhadap kerajaan sekarang dan kemudiannya memaparkan mekanisme penurunan minyak cara beliau? Apakah beliau akan turun 10 sen saja? Adakah menurunkan harga minyak sehingga paling rendah 5 sen?

Seterusnya, jika DSAI membuat serangan, apakah Panglima Perang akan membalasnya dengan serangan seperti ucapannya yang berapi-api di pentas politik terutama Perhimpunan Agung UMNO? Atau Panglima mengubah tone perdebatan dengan bercakap secara gentleman?

Keuntungan ruang publisiti yang diperolehi oleh DSAI ini sudah pasti akan digunakan sebaik mungkin termasuk memperendah-rendahkan Panglima Perang yang terlalu baru dalam kerajaan. Selain itu, DSAI akan menunjukkan kehebatannya termasuk menyatakan pengalamannya sebagai Menteri Kewangan dan TPM selama ini yang mampu untuk membuat dasar ekonomi yang terbaik untuk negara ini.

Ketika itulah, rakyat negara ini sudah tentu mahu melihat bagaimana Panglima Perang dapat membongkar kelemahan DSAI ketika menjadi pemimpin dalam kerajaan termasuklah perbandingan kejayaan Menteri Kewangan terdahulu.


bersambung....

Friday, July 11, 2008

DEBAT 2008 : SIAPA MENANG? (2)

Kedua-dua pendebat ini akan berhujjah di atas tajuk yang dipersetujui, "Hari ini memerintah, esok harga minyak turun". Tajuk itu berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Yang Menunggu sebelum PRU12 dan diulangi selepas itu.

Malah, DSAI dalam satu sidang media Jun lalu, menyatakan bahawa beliau akan meletakkan jawatan jika gagal untuk menurunkan harga minyak. Beliau akan mengumumkan mekanisme untuk menurunkan harga minyak pada masa yang sesuai.

Apakah bekas pemimpin ABIM ini akan mengumumkan mekanisme itu pada malam perdebatan nanti? Soalan itu boleh dijawab oleh DSAI kerana beliau sendirilah yang tahu apa yang ingin "dihamburkan" pada malam itu.

Ejen kenit memberitahu saya, DSAI dikatakan mendapat khidmat pakar-pakar ekonomi di dalam dan di luar negara untuk mengemukakan mekanisme ekonomi bagi menurunkan minyak. Ini termasuk daripada univerisiti di Amerika Syarikat dan Bangladesh.

Bagaimanapun, pakar ekonomi yakin ada mekanisme yang akan dicadangkan tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Yang Menunggu sudah pasti akan menggunakan siaran langsung ini untuk memulihkan dirinya sebagai "pemimpin penting" di negara ini setelah peristiwa aduan liwat oleh Saiful mencalarkan reputasinya.

Beliau pasti bernasib baik kerana tajuk debat itu hanya memfokuskan kepada isu kenaikan harga minyak dan tidak membabitkan isu peribadi seperti liwat. Oleh itu, sudah tentu siaran langsung itu tidak akan membincangkan isu yang "hangat di pasaran" ketika ini iaitu dakwaan liwat.

Penonjolan setapak lagi sebagai pemimpin negara bukan satu perkara sukar kerana DSAI telah mendapat "nyawa politik"nya semula selepas PRU12 di mana PKR mendapat banyak kerusi di seluruh negara dan isterinya, DSWAWI dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Sejajar usaha penonjolan imej itu, sudah pasti DSAI akan menyatakan apa dilakukan sekarang demi kepentingan rakyat bukan dirinya. Beliau akan menggambarkan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau pasti mahu rakyat melihatnya sebagai pembela golongan berpendapatan rendah dan pejuang hak asasi yang mengamalkan konsep - sama rata, sama rasa.

Janji untuk menurunkan harga minyak itu bertujuan memastikan rakyat terus menyokong pembangkang khususnya dan PKR khasnya dalam mengharungi politik negara yang semakin bercelaru menuju ke PRU13 yang mungkin diadakan pada 2012.

bersambung...

Thursday, July 10, 2008

DEBAT 2008 : SIAPA MENANG? (1)

Jika tidak ada halangan kita akan mendapat menyaksikan siaran secara langsung perdebatan antara Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi TV3 dan Astro pada malam 15 Julai ini.

Dalam perdebatan ini, sudah tentulah penonton mahu tahu siapakah yang akan menang sama ada Dato' Ahmad Shabery yang menggelarkan dirinya "Panglima Perang Paklah" dan DSAI yang diwar-warkan sebagai "Perdana Menteri yang Menunggu".

Melihat latarbelakang kedua-dua pendebat ini, kita tidak boleh lari daripada mengakui bahawa mereka mempunyai kebolehan dalam menyampaikan ucapan dengan baik dan pintar dalam melontarkan pandangan bernas terhadap isu semasa.

PM Menunggu sudah menunjukkan belang sejak zaman menerajui Angkatan Belia Islam (Abim)lagi sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau dipecat pada tahun 1998 yang menyaksikan perubahan lanskap politik di negara in.

Kebolehan Panglima Perang sudah terpancar sejak menjadi Ketua Penerangan Semangat 46 di mana beliau lantang memperjuangkan matlamat parti yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Jawatan Menteri Penerangan sekarang, membolehkan beliau menunjukkan kemahiran berpidato dalam banyak pentas rasmi atau pentas politik.

Tatkala ada pemimpin UMNO yang menentang debat itu, Dato' Ahmad Shabery tetap yakin bahawa ia adalah satu pentas untuk menerangkan kepada rakyat apa yang kerajaan fikir mengenai janji-janji manis PKR pada PRU12 lalu.

Beliau tidak mahu menjadi Menteri Penerangan yang hanya menjaga "drama dan konsert", sebaliknya bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab menerangkan dasar-dasar kerajaan dan menangkis serangan pembangkang yang melontarkan segala macam tuduhan.

Panglima Perang sanggup mempertaruhkan jawatannya demi memastikan bahawa Menteri-Menteri pilihan Paklah kali ini sanggup ke medan perang mempertahankan dasar kerajaan dan tidak akan lari daripada sergahan pembangkang.

Baginya, beliau tahu apa yang dilakukan oleh kerajaan dan menjadi tanggungjawabnya mempertahankan dasar yang dikemuka, dibincang, dibahas, dihujjah, dikupas dan dipersetujui dalam Kabinet secara konsensus untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau sanggup memikul tanggungjawab itu dengan penuh keyakinan. Beliau sanggup mati di medan perang.

bersambung....

Wednesday, July 9, 2008

MOGOK PENULISAN MERUGIKAN RAKYAT

Oleh Ibrahim Yahaya
(Sinar Harian: 9/7/2008)


Mogok bukan baru di negara ini. Ada pelbagai jenis mogok di Malaysia yang kebiasaannya bertujuan meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Ia juga bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat dan golongan berkepentingan terhadap sesuatu isu yang ingin diperjuangkan. Biasanya ia membabitkan isu orang ramai.

Pekerja mogok kerana tidak puas hati dengan kedudukan gaji mereka atau kemudahan bekerja yang tidak mencukupi. Mereka mogok kerana sikap zalim majikan. Pekerja akan mogok dengan tidak membuat kerja dalam tempoh waktu tertentu.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, pernah mengadakan “mogok seni” pada 1990 dan “mogok sastera” pada 2000. Beliau tidak puas hati dengan tindakan pihak tertentu berhubung dengan pemasaran karyanya. Malah, beliau pernah tidak mahu menggunakan nama Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepadanya.

Presiden Barisan Progresif India ( IPF), mendiang Tan Sri MG Pandithan pernah “mogok lapar” kerana tidak puas hati dengan ketuanya, Datuk Seri S Samy Vellu, pada 1988. Pergeseran Samy Vellu-Pandithan bermula apabila presiden IPF itu diberikan surat tunjuk sebab selepas didakwa mengamalkan politik berorientasikan kasta.Pada 4 Jun 1988, Pandithan, ketika itu naib presiden MIC, memulakan mogok lapar di hadapan bangunan ibu pejabat parti dengan membawa bersama keranda untuk menandakan bahawa demokrasi telah mati dalam partinya.

Bantahan itu mendorong pemecatan Pandithan daripada MIC pada 16 Julai 1988, bersama 13 lagi penyokong kuatnya.

Di luar negara, pekerja mogok sehingga melumpuhkan sesuatu industri. Ia juga boleh membawa malapetaka kepada ekonomi negara. Akibat kenaikan harga minyak baru-baru ini, pekerja di beberapa negara di seluruh dunia mengadakan mogok kerana tidak puas hati dengan langkah kerajaan menaikkan harga minyak yang menjejaskan pendapatan mereka. Ini termasuk golongan nelayan dan pemandu trak yang memaksa kerajaan mengambil pendekatan kreatif mengatasi masalah itu.

Sejak Ahad lalu, beberapa blogawan ternama seperti Datuk Paduka Marina Mahathir, Ahiruddin Attan dan Big Dog, melancarkan ”mogok blog” kerana meluat dengan apa yang berlaku dalam politik negara sekarang. Mereka meluat dengan perjalanan politik yang semakin kotor dan perbalahan antara pemimpin utama negara.

Bagaimanapun, Ahiruddin dalam mogoknya tetap menyiarkan tulisan akhbar The Sun dalam blognya, Rocky’s Bru. Tulisan itu mengenai pandangan beliau berhubung teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap blog-blog menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan masalah kepada negara.

Bagi Datuk Paduka Marina, beliau mahu mogok daripada membaca berita, mogok daripada memberi tumpuan kepada politik tanahair dan hanya akan menulis bahan-bahan yang membuat masyarakat negara ini lebih pandai dan bukannya bertambah bodoh.

Blogawan Big Dog pula menyatakan beliau mogok untuk menyertai rakan-rakan blogawan yang lain. Beliau akan menulis pada satu tarikh tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Datuk A Kadir Jasin yang mengendalikan blog The Scribe tidak mogok. Menurut beliau, blognya tidak mogok dan ”urusan berjalan seperti biasa” (We’re open for business as usual).

Bagi Datuk Kadir, walaupun turut menyampah, mual dan loya dengan permainan politik para pembesar dan masalah yang mereka bebankan ke atas bahu rakyat jelata, beliau tidak akan mogok. Ini, katanya, bukan cara memprotes dan membantah apa yang berlaku sekarang.

Bagi bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu, pemogokan itu tidak akan dipedulikan oleh Datuk Seri Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain.

Menurut beliau, pemimpin-pemimpin ini lebih gembira jika blogawan mogok dan lebih lagi jika menutup terus blog mereka. Tindakan mogok itu bolehlah diibaratkan sebagai, ”Pucuk dicita, ulam mendatang. Orang mengantuk disorongkan bantal.”

Dalam blognya, Datuk Kadir juga menyatakan bukan semua pembesar Umno bersikap terbuka macam Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek, yang mahu berbaik-baik dengan blogawan.

Menurut beliau, saki-baki pembesar Umno dan pemerintah yang benci kepada blog masih ramai. Kumpulan ini, katanya, tidak mahu menerima hakikat media internet akan terus kekal dan masyarakat kini sudah kurang percaya kepada media arus perdana.

Seorang lagi blogawan yang pernah menjadi pengarang kanan media arus perdana, Datuk Ahmad Talib, juga tidak bersetuju dengan tindakan mengadakan mogok penulisan. Dalam komennya di artikel yang ditulis oleh The Scribe, Datuk Ahmad berkata beliau akan tetap menulis apabila perlu untuk berbuat demikian.

Bagi saya, wartawan, penulis atau blogawan tidak seharus berhenti atau mogok menulis. Mereka perlu meneruskan penulisan bagi membolehkan peminat setia terus mengikuti luahan hati dan pandangan seimbang mereka.

Jika tiada bahan tulisan, maka peminat mereka tiada bahan untuk dibaca. Ini akan merugikan usaha memberi maklumat terkini kepada masyarakat.

Dalam kemelut politik dan ekonomi sekarang, saya berpendapat ia adalah satu medan ujian bagi blogawan yang berprinsip dan komited untuk terus berusaha menyebarkan pandangan yang seimbang dan bernas kepada masyarakat.

Ini penting jika mereka benar-benar komited untuk memperbaiki senario politik yang merungsingkan masyarakat sekarang.

Penulisan baik dan seimbanglah yang boleh diibaratkan sebagai sumbangan bakti kepada bangsa dan negara.

Tuesday, July 8, 2008

MELAKA - BANDARAYA WARISAN DUNIA



Oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam
( http://www.mohdalirustam.com )

UNESCO iktiraf Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia. Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan badan dunia terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri Melaka mengekal dan memulihara bangunan serta tapak warisan sejarah sejak 500 tahun lalu. Pengiktirafan ini sudah tentu mengembirakan semua pihak kerana ia akan meletakkan nama Melaka dan Malaysia dalam senarai peta dunia sebagai Bandaraya Warisan Dunia, setanding dengan bandaraya lain di seluruh dunia.

Pengiktirafan ini diisytiharkan di hadapan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia yang menyertai mesyuarat ini. Saya berterima kasih kepada UNESCO kerana memberi pengiktirafan ini selepas kita melobi hampir tujuh tahun sejak 2001 untuk disenaraikan sebagai Bandaraya Warisan Dunia.

Sebelum saya menghadiri persidangan ini, saya optimis Melaka akan mendapat pengiktirafan selepas semua kriteria dan ketetapan yang diperlukan oleh UNESCO, kita patuhi sepenuhnya. Saya yakin Melaka akan terus menjadi tarikan dan destinasi pelancongan yang unggul pada masa depan sama ada oleh pelancong domestik atau asing. Sudah pasti selepas ini akan membawa jutaan pelancong ke negara kita khususnya Melaka dan Georgetown. Ini kerana publisiti akan diberi setiap hari oleh UNESCO.

Banyak peluang-peluang ekonomi yang diperolehi hasil daripada pengiktirafan ini. Kerajaan negeri akan terus menggunakan kekuatan sektor pelancongan untuk menjana pendapatan penduduk sebagai langkah menangani krisis kemelesetan ekonomi global,

Dengan jumlah kedatangan pelancong yang meningkat, ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaaan dan perkhidmatan kepada rakyat Melaka. satu mercu tanda akan dibina dalam kawasan warisan di Melaka. Selain itu, satu sambutan juga akan diadakan yang akan ditetapkan kemudian.

Pengiktirafan ini meletakkan negara kita setanding dengan bandaraya warisan dunia yang lain. Tahniah juga diucapkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kerajaan Negeri, PERZIM, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan semua pihak yang bekerja kuat bagi mendapat pengiktirafan ini. Pengiktirafan ini akan dipantau oleh UNESCO kerana Melaka dan Georgetown akan menjadi tumpuan pelancong dan pakar-pakar penyelidik pembangunan Bandaraya Warisan Dunia.

Monday, July 7, 2008

BUATLAH APA SAJA YANG HALAL



(ZEK di hadapan Rumah Hijau Kecil. Gambar oleh DIY)

Hari ini, saya ingin menulis mengenai projek cendawan. Kegiatan yang boleh menambah pendapatan rakyat terutama di kawasan luar bandar. Mencari lebih wang untuk menghadapi pelbagai jenis tekanan sekarang.

Pada 1 Mei lalu, saya menulis ZEK mahu tanam cendawan. Usaha itu untuk menyahut cabaran kerajaan agar berbudi kepada tanah atau membabitkan diri dalam bidang pertanian.

Zek yang mengikuti kursus cendawan cuba menanam cendawan secara kecil-kecilan. Kini, cendawannya mula tumbuh dan rakan-rakan yang melawat "rumah hijau kecil" itu telah membuat tempahan awal apabila beliau mula "menuai" hasilnya.



(Sikit-sikit lama-lama jadi bukit)


Cendawan yang mula tumbuh itu membuatkan beliau melupakan masalah serangan kulat hijau, oren dan kuning.

Kini tumpuan Zek ialah untuk mendapat pinjaman daripada bank. Bank boleh tolong ke?

Semoga ada bank yang boleh memberi pinjaman kepada ZEK agar impiannya untuk menjadi usahawan pertanian yang berjaya menjadi kenyataan.