Wednesday, February 13, 2008

PANGLIMA PERANG SEDIA BERTEMPUR

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berdiri di sebelah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika sidang media khas mengenai pembubaran Parlimen di Putrajaya tengah hari tadi, kelihatan seperti panglima perang yang telah bersedia untuk menggempur lawan di medan peperangan tidak lama lagi.

Beliau yang mengadakan lawatan ke seluruh negara sejak tiga minggu kebelakangan ini, dilihat mengangguk-anggukkan kepala apabila wartawan pada sidang media itu bertanya kepada ketuanya mengenai kedudukan jentera dan bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara. Menjawab soalan itu, Pak Lah berkata jentera BN sudah bersedia.

Anggukan DS Najib itu memaparkan bahawa sebagai panglima perang, beliau tentu sudah memastikan bahawa semua "askar-askar" BN sudah siap sedia untuk menghadapi lawan dalam peperangan demokrasi yang akan menentukan siapa yang akan memerintah selepas PRU12. Walaupun parti kerajaan dan pembangkang sudah berkempen sejak sekian lama, namun gerakan terakhir dalam tempoh sebelum hari mengundi akan menentukan siapakah yang pengundi pilih, terutamanya pengundi di atas pagar.

Semalam, DS Najib mengakui bahawa beberapa isu dan perkara semasa yang timbul kebelakangan ini meresahkan rakyat. Namun daripada penjelasan yang diberikan oleh kerajaan termasuk pelbagai program dan tindakan seperti penubuhan Majlis Harga Negara berjaya mengurangkan keresahan itu. Dalam ertikata lain, rakyat dikatakan mula memahami isu-isu berkenaan terutamanya yang membabitkan kenaikan harga barang dan tindakan membanteras golongan yang menyalahgunakan subsidi.

Subsidi bertujuan membantu golongan yang memerlukan di negara ini. Tetapi disalahgunakan oleh pihak tertentu yang secara langsung mengaut keuntungan dan "membantu" rakyat negara jiran di Utara dan Selatan. Ada angka membabitkan pemberian subsidi dan industri yang mendapat subsidi, tidak selari. Sebagai contoh dalam industri perikanan, subsidi bertambah pada tahun lalu tetapi jumlah tangkapan ikan menurun. Ini menyebabkan kerajaan meneliti semula pemberian subsidi yang bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.

No comments: