Wednesday, February 13, 2008

AGONG PERLU PERKENAN DAHULU....

Munafik. Berbohong. Itulah antara perkara atau gelaran yang dilemparkan kepada Pak Lah dalam media baru termasuk blog persendirian hari ini semata-mata kerana kenyataannya semalam bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan esok. Kenyataan itu disiarkan oleh media arus perdana. Ramai yang mempercayai kenyataannya itu - tiada pembubaran hari ini. Hari ini, Parlimen dibubarkan.

Dalam sidang media khas tengah hari tadi, Pak Lah turut ditanya mengenai penafiannya semalam. Soalannya ialah: "Apa yang menyebabkan Dato’ Seri membubarkan Parlimen hari ini kerana semalam Dato’ Seri menafikannya."

Jawapan yang diberikan oleh Pak Lah ialah : "Saya tak boleh memberi sebarang bayangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen kerana Yang di-Pertuan Agong belum lagi buat keputusan. Jadi macamlah mana saya nak buat kenyataan atau pun memberi isyarat… itu tidak boleh. Yang di-Pertuan dulu mesti tahu dan Yang di-Pertuan Agong mesti buat keputusan."

Ditanya mengenai keyakinan Barisan Nasional untuk menang pada pilihan raya akan datang, Pak Lah berkata: "Kita telah melaksanakan apa yang kita janji kepada rakyat. Banyak program-program yang telah kita mulakan. Kita akan terus memastikan program-program yang telah pun dilaksanakan itu akhirnya akan menghasilkan kejayaan seperti yang diharapkan dan memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negara kita itu harapan kita. Rakyat tahu rekod Barisan Nasional selama ini adalah rekod yang baik. Kita telah dapat menjayakan pembangunan negara menaikkan tarafnya, peringkatnya, tahapnya daripada satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi. Begitulah harapan kita supaya kita akan terus memberi khidmat yang terbaik untuk menambah nilai kepada kejayaan yang telah pun kita perolehi selama ini, Kita ada pengalaman, kita ada kemampuan dan kita boleh menjayakan segala rancangan pembangunan yang sedang berjalan pada waktu ini."

No comments: